Seo Services

ESSZONE: Perintah Berkurung Diteruskan - Abdul Rashid


KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Datuk Abdul Rashid Harun, akan meneruskan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), membabitkan tujuh daerah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau dan Beluran.

Abdul Rashid yang juga bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dilantik menggalas jawatan nombor satu Kontinjen Polis Sabah itu berkuat kuasa hari ini, bagi menggantikan Datuk Jalaluddin Abd Rahman yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pada 31 Disember lalu.

Abdul Rashid berkata, perintah berkurung yang dilaksanakan sejak Julai 2014 perlu diteruskan kerana majoriti masyarakat khususnya di kawasan ESSZONE masih memerlukannya.

"Perintah berkurung adalah satu kaedah untuk memantapkan dan meningkatkan tahap keselamatan. Maklum balas daripada masyarakat juga amat positif dan majoriti mengalu-alukan pelaksanaan perintah berkurung.

"Saya berharap akan mendapat kerjasama padu daripada semua pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah," katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, sebentar tadi.

Upacara menandatangani serah tugas disaksikan oleh Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah. Abdul Rashid sebelum ini bertugas sebagai Komander ESSCOM sejak awal Julai 2014.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama dengan ESSCOM juga akan diteruskan bagi meningkatkan keselamatan dan keamanan di negeri ini.

Sementara itu, Jalaluddin menyifatkan insiden penculikan membabitkan anggota polis marin di Pulau Mabul, selepas baru bertugas selama dua minggu sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, antara cabaran hebat ditempuhinya.

"Itu cabaran dan kenangan sebenarnya kerana saya baru dua minggu bertugas sebagai Pesuruhjaya Sabah. Selain isu penculikan, sepanjang satu tahun enam bulan berkhidmat di Sabah, ada beberapa isu termasuk ancaman di pantai timur Sabah dan penyeludupan serta pendatang asing tanpa izin, turut diberi tumpuan," katanya.-BH
ESSZONE: Perintah Berkurung Diteruskan - Abdul Rashid ESSZONE: Perintah Berkurung Diteruskan - Abdul Rashid  Reviewed by Unknown on January 04, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.