Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati semasa mahu membeli produk kosmetik berdasarkan iklan yang disiarkan di media sosial, media cetak mahupun media elektronik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai perlu memastikan produk yang mahu dibeli adalah dari sumber-sumber yang dipercayai.
Menurutnya, terdapat pelbagai jenama kosmetik di pasaran maka orang ramai harus bijak dan tidak mudah terpedaya dengan dengan iklan-iklan produk kosmetik yang disiarkan.
“Orang ramai tidak boleh mudah terpedaya dengan iklan yang membuat tuntutan yang boleh menunjukkan kesan perubahan ketara dalam jangka masa singkat.
“Ini kerana produk kosmetik biasanya memerlukan masa untuk menunjukkan kesannya. Kehadiran bahan-bahan seperti hidrokuinon dan merkuri dalam produk boleh disyaki jika pengguna mengalami perubahan secara ketara dalam tempoh singkat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Noor Hisham berkata, berdasarkan pangkalan data produk kosmetik bernotifikasi, sehingga bulan November 2015, terdapat kira-kira 145,000 produk kosmetik bernotifikasi di Malaysia
Justeru, katanya, syarikat yang memasarkan kosmetik bertanggungjawab untuk memastikan produk kosmetik mereka selamat, berkualiti serta iklan produk dapat disokong dengan bukti dokumentasi mencukupi.
Katanya, jika produk-produk kosmetik didapati membuat iklan yang melampaui skop takrifan kosmetik seperti membuat iklan perubatan atau yang mengelirukan maka notifikasi produk kosmetik terlibat akan dibatalkan.
“Ini termasuklah produk-produk kosmetik yang dikesan positif mengandungi bahan yang tersenarai dalam Senarai Racun Berjadual di bawah Akta Racun 1952.
“Bagi produk kosmetik yang didapati gagal ujian makmal BPFK, syarikat akan diarahkan untuk membuat panggil balik produk terlibat daripada pasaran dalam tempoh yang ditetapkan dan seterusnya melupuskan produk kosmetik terlibat,” katanya lagi. - sumber
Kesan Produk Kosmetik Ambil Masa - KP Kesihatan
Reviewed by Unknown
on
January 25, 2016
Rating:
Reviewed by Unknown
on
January 25, 2016
Rating:

No comments: