Seo Services

Kilang Kicap Dan Asam Jawa Di Ipoh Diarah Tutup 14 Hari


IPOH – Dua kilang memproses asam jawa dan kicap di sini diarah tutup 14 hari mulai hari ini selain dikompaun RM250 kerana gagal mematuhi peraturan kebersihan dalam operasi HOU (Monyet) yang diadakan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kilang memproses asam jawa itu terletak di Taman Pertama manakala kilang memproses kicap, di Taman Rishah di sini.

“Terdapat serpihan surat khabar, tali di dalam asam jawa yang telah diproses, selain kurang pencahayaan dan pekerjanya juga tidak memakai apron atau menutup rambut.

“Sementara bekas yang diguna untuk peram kacang soya bagi membuat kicap tidak memuaskan dan terdapat najis tikus berhampiran,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

Operasi dua jam bermula 10 pagi itu, melibatkan 40 anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Majlis Bandaraya Ipoh serta Jabatan Agama Islam Perak.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan notis kepada kedua-dua premis berkenaan untuk memperbaiki keadaan di sekitar kilang masing-masing.

“Dalam tempoh ini pihak Jabatan Kesihatan akan membuat pemeriksaan susulan dan sekiranya kilang tersebut masih menjalankan operasi, kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Selain itu Mah berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 13,068 premis makanan diperiksa bagi memantau keselamatan serta kualiti produk, meningkat berbanding 10,640 pada 2014.

“Sebanyak 91 premis ditutup pada 2014 dan 108 ditutup pada 2015 di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana premis didapati tidak bersih.

“Sebanyak 2,128 rampasan dibuat dengan nilai RM51,761 pada 2014 manakala 2015 sebanyak 1,435 rampasan dilakukan membabitkan jumlah RM49,245,” katanya. – BERNAMA
Kilang Kicap Dan Asam Jawa Di Ipoh Diarah Tutup 14 Hari Kilang Kicap Dan Asam Jawa Di Ipoh Diarah Tutup 14 Hari Reviewed by uMieySurianie on January 29, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.