GAMBAR HIASAN |
KUCHING: Pelanggaran yang kuat oleh satu objek ke atas kabel transmisi yang merentangi Sungai Tatau di Bintulu, dekat sini dipercayai menjadi punca gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di negeri ini, Sabtu lepas.
Itu adalah keputusan awal hasil siasatan pasukan teknikal Sarawak Energy Berhad (SEB) ke atas punca gangguan bekalan selama beberapa jam bermula dari pukul 6.38 petang yang dialami di kebanyakan kawasan di sini, Sibu dan Mukah.
Naib Presiden Eksekutif SEB yang juga Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikatnya SESCO, Lu Yew Hung berkata susulan insiden itu, lokasi sebenar kerosakan di talian transmisi berkeupayaan 275kV di Kemena-Selangau dapat dikesan menerusi peranti geganti perlindungan jarak jauh.
"Pemeriksaan serta-merta yang dilakukan mendapati terdapat lembar kabel yang menunjukkan struktur fizikalnya sudah ditarik, calar dan seterusnya merosakkannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, SEB sudah mengerahkan petugasnya untuk memperbaiki kerosakan itu.
"Mereka masih melakukan pemeriksaan terperinci ke atas kabel yang rosak dengan menggunakan dron bagi mendapatkan lebih banyak maklumat visual.
"Ada kemungkinan tongkang yang melalui sungai itu tidak menurunkan krennya sehingga mengakibatkan ia melanggar kabel elektrik berkenaan," katanya.
Lu berkata ketika insiden berkenaan berlaku, air sedang pasang sekali gus menguatkan kemungkinan itu.
Kabel transmisi itu berada pada ketinggian yang menepati peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, terdapat risiko litar terpelantik berlaku apabila sebahagian talian itu ditutup untuk dibaik pulih kerana baki kabel yang tinggal akan membawa beban bekalan elektrik yang tinggi.
"Bagi tujuan ini, kami akan meletakkan pasukan teknikal dalam keadaan bersiap siaga di kawasan strategik.
Pasukan kami akan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan akan cuba memulihkan bekalan secepat mungkin, jika berlaku sebarang gangguan," katanya.-BERNAMA
Kren Tongkang Dipercayai Punca Gangguan Bekalan Elektrik
Reviewed by uMieySurianie
on
January 27, 2016
Rating:
No comments: