PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat 11 ketua perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik, di pejabatnya di sini.
Mereka ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Ibrahim Abdullah, Mohd Zamruni Khalid (Vietnam), Chuah Teong Ban (Peru), Tajul Aman Mohamad (Romania), Norlin Othman (Sweden) dan Chitra Devi Ramiah (Timor Leste).
Sebelum dilantik ke jawatan itu, Ibrahim ialah Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Mohd Zamruni pula Timbalan Ketua Sekretariat Kebangsaan ASEAN Malaysia dan Chuah merupakan Duta Besar Malaysia ke Ukraine.
Tajul Aman pula sebelum ini ialah Duta Besar Malaysia ke Bangladesh, Norlin pula pernah menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh dan Chitra Devi merupakan Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, India.
Turut melakukan kunjungan hormat ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Datuk Ghulam Jelani Khanizaman, Aminahtun A. Karim (Kanada), Nur Ashikin Mohd Taib (Bangladesh) dan Hishamuddin Ibrahim (Namibia).
Ghulam Jelani ialah seorang pesara kerajaan, Aminahtun (Timbalan Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri), Nur Ashikin (Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan) dan Hishamuddin (Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak).
Seorang lagi yang turut dilantik ialah Datuk Adeline Leong sebagai Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (MFTC) Taiwan.- BERNAMA
Najib Terima Kunjungan 11 Perwakilan Malaysia Ke Luar Negara
Reviewed by uMieySurianie
on
January 07, 2016
Rating:
No comments: