Seo Services

Wanita Islam Dilarang Beku Sel Telur Sebelum Nikah

MENGIKUT satu fatwa, wanita Islam di negara ini dilarang membekukan sel telur mereka sebelum bernikah.

Pada masa sama, undang-undang syariah hanya membenarkan sel telur wanita disenyawakan dengan sperma suami sendiri, sekali gus melarang sama sekali pembekuan sel telur itu untuk tujuan sosial, kata pakar kesuburan, Dr Natasha Ain Mohd Nor.

"Malah fatwa sudah dikeluarkan yang melarang pembekuan sel telur sebelum berkahwin," katanya kepada Bernama.

"Bagaimanapun selepas berkahwin, mereka boleh membekukan sel telur asalkan proses persenyawaan menggunakan sperma suami sendiri."

Dr Natasha menjelaskan Islam hanya menggalakkan pembekuan sel telur jika wanita berkenaan tidak mampu hamil secara biasa atas masalah perubatan, bukannya atas faktor sosial lain seperti wanita muda yang bujang membekukannya supaya boleh mengandung pada masa depan.

Mengenai pemikiran terkini wanita Islam di negara ini mengenai pembekuan sel telur, Dr Natasha berkata: "Mereka masih belum memikirkannya kerana kos yang begitu tinggi. Kos pembekuan sel telur adalah antara RM15,000 dan RM17,000."

Dr Natasha, yang bertugas di KL Fertility Centre, berkata wanita Islam yang memilih membekukan sel telur mereka biasanya terdiri daripada mereka yang berdepan penyakit serius seperti kanser.

"Wanita Islam yang mahu berbuat demikian biasanya atas sebab perubatan. Tapi jumlahnya masih sangat kecil," katanya.

"Mereka biasanya sedang menjalani rawatan kemoterapi dan dirujuk oleh doktor mereka kepada pakar kesuburan bagi membantu membekukan sel telur mereka sebagai pilihan jika mahukan anak pada masa depan."

Ditanya sama ada terdapat alasan lain untuk membekukan sel telur oleh wanita Islam, Dr Natasha berkata beliau pernah membantu berbuat demikian kepada mereka yang mempunyai suami yang berdepan masalah mengeluarkan jumlah sperma yang mencukupi.

"Apa yang kita lakukan adalah membekukan sel telur isteri dan memberikan tempoh sehari dua kepada suami mengeluarkan sperma untuk disenyawakan."

Pada masa sama, Dr Natasha menasihatkan semua wanita supaya tidak menangguhkan kehamilan kerana pembekuan sel telur bukan jaminan 100 peratus mereka mampu hamil.

"Pembekuan telur hanyalah satu pilihan tapi ia bukan jaminan 100 peratus wanita itu boleh hamil.

"Jika seseorang wanita itu mahu membekukan sel telurnya, beliau digalakkan melakukannya pada usia awal 30-an iaitu ketika masih mempunyai jumlah telur yang
mencukupi. Jika pada usia 40-an, ia adalah sukar."

Dr Natasha berkata sel telur wanita boleh hidup antara lima dan 10 tahun selepas ia dibekukan.

"Oleh itu, adalah lebih baik untuk wanita yang mahu melengahkan kehamilan untuk berjumpa pakar sakit puan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui tahap kesuburan sel telur mereka." - Bernama
Wanita Islam Dilarang Beku Sel Telur Sebelum Nikah Wanita Islam Dilarang Beku Sel Telur Sebelum Nikah Reviewed by Admin on January 07, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.