Gambar Hiasan. |
KUALA LUMPUR: Pengguna perlu bijak menggunakan kuasa membeli bagi memastikan harga barangan dapat dikawal, antaranya dengan membeli di kedai koperasi dan juga Kedai Runcit 1Malaysia (KR1M).
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata rakyat Malaysia harus menggunakan kuasa pengguna sebagai pembeli supaya tidak terbeban dengan kenaikan harga barang.
Pada masa ini terdapat kira-kira 12,500 koperasi di negara ini dengan keahlian seramai lapan juta orang di seluruh negara yang mampu memainkan peranan membantu memastikan harga barangan terkawal, katanya kepada Bernama.
"Banyak koperasi yang boleh mereka sertai. Sebagai contoh, koperasi peruncit yang membeli terus dari kilang dan mendapat harga yang lebih rendah kerana membeli secara pukal, sekali gus menghapuskan peranan orang tengah yang cuba mengaut keuntungan," katanya.
Abdul Fattah berkata ini adalah faktor pasar raya besar seperti Tesco dan Mydin mampu menjual barang keperluaan dengan harga yang lebih murah kerana membeli secara pukal terus dari kilang.
"Jika rakyat Malaysia mahukan harga di pasaran terkawal, mereka perlu bersatu dan gunakan kuasa membeli untuk mendesak dan boikot beramai-ramai barangan yang dijual lebih daripada harga sepatutnya," katanya.
Datuk Abdul Fattah Abdullah |
Abdul Fattah berkata pada masa ini terdapat hampir satu perempat rakyat di negara ini menjadi anggota koperasi, dan ini adalah satu kekuatan.
Pengguna yang menjadi ahli koperasi dapat menikmati pelbagai faedah daripada segi pembelian barang dan perkhidmatan pada harga yang rendah, katanya.
Beliau berkata pihaknya juga giat melakukan program mendidik ahli koperasi mengenai aspek kesedaran pengguna dalam menstabilkan harga barangan.
"Adalah tanggungjawab kita untuk memberi pendidikan kepada ahli menerusi pelbagai kursus seperti pengurusan kewangan, seminar kepenggunaan dan lain-lain supaya ahli koperasi menjadi pengguna yang bijak," katanya.
-- BERNAMA
Pengguna Perlu Guna Kuasa Beli Bagi Pastikan Harga Barangan Dapat Dikawal - ANGKASA
Reviewed by Unknown
on
January 07, 2016
Rating:
No comments: