BINTULU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak merampas 90 batang kayu balak pelbagai saiz di sebuah tasik pembalakan di Rantau Mergau, Sungai Kakus di daerah Tatau dekat sini semalam.
Komander PPM wilayah itu Asisten Komisioner N. Kalai Chelvan berkata rampasan itu dilakukan menerusi operasi rutin yang dilaksanakan lapan anggota diketuai Inspektor Nor Arifin Mad Deris di sekitar sungai di daerah itu.
Katanya hasil pemeriksaan, kayu balak itu didapati diikat dalam bentuk rakit diletakkan di dalam sungai dengan tiada sebarang tanda kelulusan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri.
"Jadi mereka mengesyaki balak itu dikeluarkan secara haram. Mereka tidak melakukan sebarang tangkapan memandangkan tiada sesiapa pun di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata pasukan itu menghubungi Jabatan Perhutanan Negeri yang kemudiannya menghantar satu pasukan untuk menyita kayu balak yang dianggar bernilai RM30,000 harga pasaran. - Bernama
PPM Rampas Balak Di Bintulu
Reviewed by Unknown
on
January 24, 2016
Rating:

No comments: