Seo Services

Waziristan Utara, Contoh Baik Kejayaan Pakistan Memerangi Keganasan


KUALA LUMPUR: Utara Waziristan, sebuah kawasan suku kaum di barat laut Pakistan, pada satu ketika dahulu merupakan tempat persembunyian pengganas. Bagaimanapun, banyak perubahan telah berlaku di daerah ini sejak setahun setengah lalu.

Pernah menjadi pangkalan untuk kumpulan pengganas tegar seperti Taliban dan Al-Qaeda, keadaan di kawasan itu kini boleh dikatakan agak tenteram.

"Penduduk di kawasan itu kini mampu menjalani kehidupan harian mereka dalam keadaan yang agak aman dengan urusan perniagaan berjalan seperti biasa berbanding sebelum ini akibat ancaman keganasan di sana sini," kata Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Hassan Raza.

Beliau memberitahu Bernama dalam wawancara eksklusif baru-baru ini bahawa Utara Waziristan adalah contoh baik kejayaan menentang keganasan dan Pakistan bersedia untuk berkongsi kejayaannya dalam hal itu dengan negara Islam yang lain.

Terletak bersempadan dengan Afghanistan, kawasan suku kaum yang ditadbir kerajaan pusat ini sekarang adalah antara daerah di Pakistan yang menikmati kesan positif hasil operasi keselamatan terhadap pengganas yang dipanggil "Zarb-e-Azb".

PENGHAPUSAN KEGANASAN SEPENUHNYA

Menurut Syed, sejak pelancaran operasi pada bulan Jun 2014, Pakistan berjaya menghapuskan 95 peratus daripada ancaman keganasan daripada purata 297 sebulan kepada hanya 15 sebulan.

Sejak operasi itu bermula, seramai 3,400 pengganas telah dibunuh dalam beberapa siri pertempuran dan sebanyak 837 tempat persembunyian pengganas berjaya dimusnahkan.

Lebih 13,000 operasi berasaskan risikan dijalankan di seluruh negara dengan 183 pengganas tegar dibunuh dan 21,193 ditangkap.

Operasi risikan sedang diteruskan untuk menangkap saki-baki pengganas.

Pasukan keselamatan Pakistan juga merampas ribuan senjata, peluru, bahan letupan serta peralatan perhubungan.

"Selepas kejadian pembunuhan beramai-ramai di sebuah sekolah di Peshawar pada tahun 2014, kami sudah tidak boleh bersabar lagi. Sama ada pengganas hidup atau kami yang hidup. Rakyat Pakistan sudah terlalu lama menderita," kata beliau.

Di samping itu, Syed juga berkongsi maklumat bahawa 142 kes berkaitan dengan keganasan telah dirujuk kepada 11 mahkamah tentera. Daripada jumlah itu, 55 telah diputuskan dan 31 orang pengganas tegar disabit kesalahan.

Bagaimanapun, keamanan ada harganya apabila 450 orang anggota tentera Pakistan mati syahid dalam operasi menentang keganasan.

DASAR PELAN BERTINDAK NEGARA

Kerajaan Perdana Menteri Nawaz Sharif mendokong Pelan Bertindak Negara pada bulan Januari 2015 dengan kerjasama semua parti politik di negara ini serta sokongan kuat Parlimen.

Pelan itu antara lain membenarkan mahkamah khas diketuai oleh pegawai pasukan tentera mempercepatkan perbicaraan pengganas.

Syed juga menekankan tentang gerakan besar-besaran terhadap sebarang bentuk ucapan berbentuk hasutan termasuk tindakan terhadap akhbar serta majalah yang menyumbang kepada penyebaran hasutan yang sedemikian.

"Dana untuk pengganas serta pertubuhan mereka akan juga disekat sementara madrasah (sekolah pondok) di seluruh negara akan dikawal," katanya.

Pakistan juga meningkatkan usaha meliputi ruang siber memandangkan kumpulan pengganas juga menggunakan Internet dan media sosial.

Pakistan juga membekukan beberapa akaun bank yang digunakan untuk menyalur dana sebanyak Rs10.2 bilion (RM420 juta) dalam bentuk tunai kepada mereka yang disyaki sebagai pengganas.

Pakistan Telecommunication Authority (PTA)pula mengesahkan lebih daripada 70 juta pemilik SIM yang mana 11 juta SIM disekat kerana pemiliknya gagal mengesahkan semula maklumat mereka.

USAHA MENGHAPUSKAN RADIKAL

Dalam usaha untuk membawa mereka yang terlibat dalam kegiatan militan kembali ke pangkal jalan, Syed memberitahu Bernama Pakistan telah mengambil beberapa langkah penting ke atas proses penghapusan radikal.

Ini termasuk penubuhan dua buah sekolah yang akan mendidik nilai-nilai moral serta ajaran agama sebenar kepada bekas pengganas.

Menurut Syed, kedua-dua sekolah itu ditubuhkan pada tahun 2009 dan mensasarkan lelaki berusia antara 15 dan 35 tahun.

Di sekolah itu, bekas pengganas menjalani latihan kemahiran yang berguna untuk mereka memasuki alam penggajian.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk menangani masalah ini di semua peringkat, daripada aspek ideologi dan agama juga ekonomi serta sosial untuk menghapuskan elemen radikal," katanya.

Sejak ditubuhkan, sekolah itu berjaya mengubah 3,000 bekas pengganas daripada berpendirian radikal.

Menurut Syed, kurikulum agama juga telah dipinda dalam proses menghapuskan fahaman radikal.

Kerajaan Pakistan, katanya, telah menambah jumlah ceramah serta program bual bicara menerusi televisyen untuk mengutuk tindakan keganasan.

"Rakyat diberi gambaran sebenar tentang Islam sebagai agama aman yang tidak membenarkan penggunaan kekerasan ke atas mana-mana orang yang tidak bersependapat dengan mereka.

"Turut ditekankan nyawa semua orang adalah penting sama ada beragama Islam atau tidak," tambahnya.

APAKAH DOKTRIN IS ATAU DAESH SUDAH LAPUK DEK ZAMAN

Di sebalik sejarah panjang Pakistan menjadi mangsa kegiatan keganasan yang dilancarkan oleh kumpulan seperti Taliban dan Al Qaeda, masih tidak ada tempat untuk doktrin DAESH atau IS yang baru di negara itu.

Pada hakikatnya, kata Syed, kumpulan itu tidak mempunyai sebarang tapak di Pakistan.

"Meskipun terdapat tanda ada orang yang menunjukkan simpati terhadap IS tetapi sehingga kini kami tidak berdepan dengan sebarang kegiatan IS yang mungkin menjadi ancaman," katanya.

Beliau berkata, doktrin kumpulan itu mahu menubuhkan Khalifah Islam tidak dapat diterima dan tidak dapat dilaksanakan.

"Islam daripada zaman Nabi Muhammad bukan berdasarkan sektarian tetapi berasaskan Al-Quran and Sunnah," katanya.

Oleh yang demikian, beliau berkata, apa yang diperlukan ialah untuk kerajaan dan rakyat bekerjasama demi perpaduan Ummah.

"Generasi baru perlu pendidikan yang sewajarnya. Setiap kerajaan Islam perlu menyediakan pendidikan berasaskan nilai sebenar Islam supaya minda generasi muda tidak mudah diracuni. Masyarakat Islam perlu mengadakan perbincangan dan dialog," katanya.

BERSEDIA BERKONGSI DENGAN MALAYSIA DAN DUNIA

Dengan kejayaan dalam usaha membasmi keganasan, Pakistan bersedia berkongsi kisah kejayaan serta pencapaiannya itu.

Syed menegaskan negaranya bekerjasama erat dengan masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam berhubung isu itu.

"Negara kami telah berdepan dengan ancaman keganasan ini dan berjaya menghapuskan kumpulan pelampau dan kami bersedia berkongsi kejayaan ini dengan dunia.

"Kami juga telah mengadakan dialog dengan pihak yang berkepentingan di Malaysia dalam aspek ini dan bersedia berkongsi pengalaman kami dengan negara Islam yang lain," katanya.

Dalam masa yang sama Syed memuji usaha Malaysia untuk menganjurkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Penghapusan Radikal serta Menentang Fahaman Melampau Yang Ganas 2016.

Persidangan itu akan diadakan di Kuala Lumpur pada 25 dan 26 Januari ini.

Beliau berkata, persidangan itu bukan sahaja peluang penting untuk semua pihak mengukuhkan kerjasama tetapi berkongsi buah fikiran mengenai cara menyekat keganasan.

BERNAMA
Waziristan Utara, Contoh Baik Kejayaan Pakistan Memerangi Keganasan Waziristan Utara, Contoh Baik Kejayaan Pakistan Memerangi Keganasan Reviewed by Unknown on January 25, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.