LONDON: Dr Vida mahu menjadikan Stadium Emirates milik pasukan Arsenal sebagai model untuk pembinaan stadium Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) di Kelantan yang bakal menelan belanja RM260 juta.
Bagaimanapun, Dr Vida atau nama sebenar Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mahu melihat skuad Kijang mencapai lebih banyak kemenangan dan kejayaan terlebih dahulu supaya dapat menyempurnakan lagi keunikan stadium terbabit untuk jangka masa panjang.
Katanya, pembinaan stadium itu perlu dilakukan berhampiran pusat bandar Kota Bharu selepas mengambil kira semua lawatannya di Eropah selama dua minggu yang dilihat dapat menghidupkan lagi persekitaran dengan adanya mercu tanda berkenaan.
"Saya lihat Stadium Emirates sangat sesuai untuk dijadikan model jika mahu membina stadium Kelantan baharu kerana memiliki ruang yang padat, tidak terlalu besar dan sangat moden.
Malah ia juga mampu menempatkan banyak kemudahan seperti gimnasium, bilik pemulihan, bilik kerja media dan ruang sejarah.
"Tambahan pula, stadium pasukan The Gunners itu juga tertutup dan memiliki bumbung bagi mengelakkan air hujan membasahi kemudahan di kawasan padang. Ia dapat mengelakkan peralatan, kerusi dan papan tanda cepat buruk kerana keadaan cuaca yang berubah.
"Kalau Stadium Santiago Bernabeu, Madrid pula, ia terlalu besar untuk dibina di Kelantan sekali gus menyukarkan lagi untuk mencari tanah yang sesuai.
Namun, ia adalah pelaburan jangka masa panjang dan saya mahu melihat pasukan Kelantan kuat, terkenal dan hebat sebelum merealisasikan impian berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas tertarik dengan struktur, reka bentuk dan kemudahan di Stadium Emirates yang mampu memuatkan seramai 60,000 penonton sebaik mengadakan kunjungan selama lebih satu jam di sekitar stadium milik skuad The Gunners berkenaan.
Stadium Emirates itu adalah stadium kedua terbesar bagi pasukan Liga Perdana Inggeris selepas Stadium Old Trafford milik pasukan Manchester United.
Menurutnya, selain stadium, hotel di sekitar stadium milik Arsenal itu juga sesuai untuk dijadikan acuan untuk membina Hotel PQPTRW bernilai RM280 juta itu.
"Apa pun ia bergantung pada keluasan tanah dan kalau boleh stadium serta hotel perlu dibina bersama. Barulah lebih menarik dan moden nanti," katanya. - BH
Dr Vida mahu Stadium Emirates Jadi Model
Reviewed by uMieySurianie
on
March 23, 2016
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
March 23, 2016
Rating:

No comments: