Seo Services

Pembangunan Infrastruktur Asas Di Sarawak Secara Berterusan


KUCHING: Pembangunan infrastruktur asas seperti elektrik, air dan jalan raya di Sarawak dilakukan secara berterusan dan berfasa, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata jalinan kerjasama erat kerajaan Persekutuan bersama kerajaan Sarawak memudahkan sebarang pelaksanaan program pembangunan di negeri ini.

Justeru itu, beliau berkata mengekalkan kerajaan negeri sedia ada merupakan langkah terbaik perlu dibuat penduduk Sarawak agar perancangan dan proses pembangunan tidak terbantut.

"Sarawak sebuah negeri yang luas dan besar, kita belum sampai ke tahap kita sudah dapat sediakan 100 peratus kemudahan infrastruktur asas kepada semua kampung di seluruh negeri.

"Namun begitu, yang penting selama ini kerajaan telah banyak mewujudkan di kawasan-kawasan luar bandar kemudahan asas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nanta yang juga Anggota Parlimen Kapit berkata setiap tahun dalam pembentangan Bajet negara, peruntukan yang besar disalurkan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar.

"Di Sarawak dalam tempoh dua tahun ini, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem semasa persidangan Dewan Undangan Negeri telah luluskan sejumlah RM1 bilion untuk dibelanjakan bagi projek-projek luar bandar.

"Jadi sekiranya ada yang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) seolah-olah tidak ambil peduli mengenai pembangunan luar bandar, itu tidak tepat," katanya.

Nanta berkata KKLW sendiri mempunyai pangkalan data bagi mengenal pasti di mana pembangunan infrastruktur asas secara berterusan dan berfasa bakal dilakukan memandangkan sumber kewangan dan peruntukan besar diperlukan untuk pelaksanaan setiap projek itu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata pembangunan infrastruktur akan lebih cepat dengan wujudnya kerusi Dewan Undangan Negeri baharu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong berkata sebagai contoh pertambahan sebuah lagi kerusi DUN Gedong daripada dua DUN di kawasan parlimen itu, iaitu Simunjan dan Sadong Jaya, akan mempercepatkan proses tersebut.

"DUN baharu akan membantu penduduk luar bandar kerana sebelum ini peruntukan untuk sebuah DUN adalah sama dan bayangkan dengan keluasan sebuah DUN di Sarawak ini, jumlah tersebut kemungkinan tidak mencukupi.

"Pertambahan kerusi ini bermaksud bertambahnya peruntukan. Manfaat ini kemudiannya akan disalurkan kepada rakyat," katanya.- BERNAMA
Pembangunan Infrastruktur Asas Di Sarawak Secara Berterusan Pembangunan Infrastruktur Asas Di Sarawak Secara Berterusan Reviewed by uMieySurianie on April 24, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.