Seo Services

Puasa Latih Jadi Insan Lebih Sempurna Ukhrawi Dan Duniawi - PM


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan umat Islam di negara ini supaya menghayati ibadah puasa sebagai melatih insan menjadi lebih baik dari segi ukhrawi selain mengajar insan menjadi lebih sempurna dari segi duniawi dalam tindak-tanduk seharian.

Perdana menteri berkata berpuasa turut mengajar perihal kesabaran melawan godaan hawa nafsu selain mendalami dan merasai jerih payah mereka yang kurang bernasib baik.

"Inilah sebahagian pengertian Ramadan yang harus bersama kita hayati, semoga ia menjadikan kita umat Islam yang lebih tawaduk dan manusia yang lebih bersyukur dan seterusnya beroleh rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT, Insya-Allah," katanya dalam catatan terbaharu di blog NajibRazak.com, hari ini.

Najib mengajak umat Islam berpuasa dengan niat beribadah kepada Allah SWT, selain menaakul pengertian Ramadan yang bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga serta mengawal hawa nafsu.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rahmat-Nya, kita telah dua minggu berpuasa di Malaysia dalam keadaan yang aman dan damai, dengan limpahan rezeki tanpa kurangnya pilihan juadah berbuka di bulan Ramadan tahun ini," katanya.

Beliau juga menyelitkan beberapa potongan ayat Al-Quran dan hadis dalam catatan bertajuk 'Menghayati Pengertian Ramadan' yang antaranya berbunyi:

"Dari segi istilah syarak, Ramadan membawa erti bulan rahmat yang diwajibkan berpuasa ke atasnya, sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183, maksudnya, "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Rasulullah SAW turut bersabda dalam Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Abi Hurairah daripada Ibnu Umar, "Bukanlah puasa itu daripada makan dan minum saja, sesungguhnya puasa itu daripada perkataan kotor dan caci-maki."

Najib turut memetik hadis riwayat Thabrani bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Betapa banyak orang yang berpuasa, tapi ia tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya itu selain lapar dan dahaga." Amatlah rugi sekiranya kita tergolong dalam golongan seperti ini."

-- BERNAMA
Puasa Latih Jadi Insan Lebih Sempurna Ukhrawi Dan Duniawi - PM Puasa Latih Jadi Insan Lebih Sempurna Ukhrawi Dan Duniawi - PM Reviewed by Unknown on June 20, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.