Seo Services

Wanita Lahir Bayi Hasil Embrio Beku 18 Tahun


SHANGHAI: Seorang bayi perempuan hasil embrio beku yang dituai 18 tahun lalu, kini digelar bayi paling tahan beku di China.

Bayi dengan berat 3.3 kilogram itu dilahirkan pada 27 Jun lalu oleh seorang wanita berusia 45 tahun, lapor China Times.

Pada tahun 1998, wanita itu mendapatkan rawatan kesuburan di jabatan obstetrik Universiti Fudan dan hospital ginekologi di Shanghai.

Beliau mempunyai masalah untuk hamil kerana saluran falopian yang tersumbat, satu keadaan yang menghalang sperma daripada sampai ke telur atau menghalang laluan telur untuk disenyawakan dalam rahim.

Selepas tiga kali gagal untuk hamil melalui persenyawaan in-vitro (IVF), wanita yang kecewa itu memutuskan untuk berehat sebentar daripada rancangannya untuk mendapatkan anak.

Menurut Xinhua, embrio baki disimpan beku dalam nitrogen cecair pada -196 darjah Celsius untuk percubaan di masa depan.

Wanita itu mengambil masa 18 tahun untuk mencuba sekali lagi setelah mengetahui seorang rakan berjaya melahirkan anak kembar melalui IVF.

Usaha beliau sekali lagi terhenti apabila didiagnosis dengan beberapa masalah kesuburan lain yang tidak dikesan ketika mula-mula menjalani IVF.

Doktor mendapati bahawa tiub falopian berisi cecair, dinding rahim yang nipis dan fibroid rahim menghalang beliau daripada hamil.

Selepas menjalani pembedahan untuk membuang fibroid rahim dan saluran falopian, pesakit pulih selama setahun. November lalu, beliau akhirnya hamil menggunakan satu embrio beku, dan melahirkan anak yang sihat.

Media China mengisytiharkan kelahiran itu sebagai keajaiban perubatan berikutan embrio yang kekal berdaya maju walaupun dibekukan selama 18 tahun, jauh melebihi hayat penyimpanan lima tahun yang disyorkan. - Agensi
Wanita Lahir Bayi Hasil Embrio Beku 18 Tahun Wanita Lahir Bayi Hasil Embrio Beku 18 Tahun Reviewed by uMieySurianie on July 05, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.