KUALA TERENGGANU - Ibu bapa dinasihat menukar tetapan akaun laman sosial mereka seperti Facebook atau Instagram kepada peribadi atau 'private' bagi mengelak gambar dan video anak-anak mereka disalahgunakan oleh golongan pedofil.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul berkata, keghairahan kalangan ibu bapa memuat naik gambar dan video anak mereka ke laman sosial boleh mengundang implikasi.
Katanya, kementerian kini bekerjasama dengan Unit Khas Polis Diraja Malaysia untuk mengenal pasti golongan pedofil yang mengumpulkan gambar kanak-kanak di dalam satu katalog khas untuk tatapan sesama mereka dan lebih menakutkan ramai ibu bapa tidak sedar bahawa anak mereka turut menjadi mangsa.
"Kita faham hasrat ibu bapa yang mahu menyimpan semua ini sebagai kenangan namun tidak perlulah terlalu terbuka dalam perkara sebegini kerana ada golongan masyarakat yang 'berpenyakit pelik' terhadap kanak-kanak di luar sana.
"Sekiranya masih mahu mengabadikan kenangan itu di Facebook atau Instagram, jadikanlah ia hanya untuk tatapan peribadi, ini adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukan ibu bapa agar gambar anak mereka tidak disalah guna oleh pedofil yang bukan sahaja berada di Malaysia malah boleh ditonton pedofil seluruh dunia," katanya. – Bernama
Berhati-hati Elak Gambar Anak Disalah Guna Pedofil
Reviewed by Unknown
on
August 01, 2016
Rating:

No comments: