NEW YORK, 25 Ogos -- Malaysia akan mempertingkat hubungan dua hala dengan Serbia termasuk memberi pengecualian visa kepada rakyatnya yang berkunjung ke Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata peningkatan itu bukan sahaja meliputi hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi juga antara rakyat dengan rakyat.
"Kita hanya menunggu pihak Serbia sahaja untuk menandatangani perjanjian (pengecualian visa)," kata Ahmad Zahid kepada wartawan Malaysia di sini selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Pertama Serbia, Ivica Dacic di hotel penginapan beliau di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid kini berada di sini dalam rangka lawatan lima hari ke Amerika Syarikat dari 22 hingga 26 Ogos, yang antara lain untuk mempengerusikan perbahasan terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung senjata pemusnah besar-besaran (WMD), di mana Malaysia adalah pengerusinya bagi bulan Ogos.
Pertemuan selama kira-kira 30 minit antara Ahmad Zahid dan Dacic itu turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim.
Ahmad Zahid berkata Malaysia ingin menarik lebih ramai rakyat Serbia berkunjung ke Malaysia memandangkan sangat sedikit bilangan pelancong negara itu ke Malaysia pada masa ini, iaitu hanya kira-kira 700 orang pada 2014 dan 600 orang pada tahun lepas.
"Usaha menambah ketibaan pelancong dari Serbia itu akan dijalankan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia ekoran adanya potensi besar untuk mempromosikan Malaysia kepada Serbia dan negara-negara bekas Yugoslavia yang lain," kata beliau.
Beliau berharap hubungan baik dengan Serbia dapat menjadikan ia pintu masuk dagangan Malaysia untuk pasaran negara-negara bekas Yugoslavia manakala Serbia pula boleh menjadikan Malaysia pintu masuk ke negara-negara Asean yang memiliki lebih 500 juta penduduk.
Daripada segi hubungan diplomatik pula, Ahmad Zahid berkata pihak Serbia sedang berusaha untuk mentauliahkan dutanya di Jakarta, Indonesia untuk Malaysia yang dijangka dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
Ahmad Zahid berkata perbincangan turut menyentuh bidang pendidikan serta kerjasama saintifik memandangkan Malaysia, selaku pengerui majlis keselamatan berperanan penting di pentas dunia, Asean dan antarabangsa.
Beliau berkata perkara lain yang turut dibincang termasuk pencalonan wakil dari Serbia untuk menduduki kerusi Setiausaha Agung PBB bagi menggantikan Ban Ki-moon dari Korea Selatan yang akan tamat tempohnya tahun ini.
Ahmad Zahid berkata Malaysia berpendirian bahawa pemilihan itu harus menggunakan kaedah baharu berbanding kaedah konvensional.
Ban Ki-moon yang memulakan tugas pada 1 Jan 2007 dipilih semula tanpa pertandingan bagi penggal kedua pada 21 Jun 2011 dan akan digantikan pada Perhimpunan Agung PBB tahun ini.
Mengenai usaha untuk meletakkan Malaysia termasuk dalam senarai negara-negara yang diberi pengecualian visa oleh Amerika, Ahmad Zahid berkata beliau tidak akan membincangkan perkara itu dalam lawatannya kali ini tetapi yakin permohonan Malaysia itu akan diluluskan sebelum akhir tahun ini.
Amerika telah meletakkan tujuh syarat termasuk menetapkan kadar penolakan visa di bawah 3 peratus dan Malaysia kini telah mencapai 3.34 peratus manakala usaha sedang dilakukan untuk menurunkan lagi kadar tersebut, kata beliau.
Mengenai isu penahan dua rakyat Malaysia di pangkalan tentera Amerika di Teluk Guantanamo, Cuba kerana disyaki pengganas, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia telah menghantar tiga pegawai termasuk dua dari Polis Diraja Malaysia dan seorang dari Kementerian Dalam Negeri untuk menemui mereka dan menawarkan kepada Amerika untuk meradikalisasikan tahanan tersebut.
Template program radikalisasi Malaysia itu kini diguna pakai Amerika terhadap tahanan dari Malaysia dan nusantara yang berpusat di Interpol Singapura.
Dalam lawatannya kali ini Ahmad Zahid turut dijadual menghadiri jamuan makan malam bersama kakitangan Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB dan rakyat Malaysia di sini, di pejabat perwakilan itu. - BERNAMA
Hubungan Dua Hala Dengan Serbia Akan Dipertingkat- Ahmad Zahid
Reviewed by Azmin
on
August 25, 2016
Rating:
No comments: