KUCHING: Cabaran dan isu utama yang memberi kesan sektor perumahan di negeri ini antara perkara dibincang pada Mesyuarat Jawatankuasa Koordinator Perumahan Negeri di Hotel Riverside Majestic di sini semalam.
Pada masyuarat dipengerusi Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memberitahu isu dan cabaran itu penting bagi memastikan sektor perumahan swasta dalam melaksanakan usaha kerajaan menyedia rumah mampu dimiliki rakyat di negeri ini.
Malah, beliau memberitahu ia juga selari dengan dasar baharu perumahan diperkenal kerajaan negeri pada April lalu bagi mewujudkan lebih banyak lagi rumah mampu milik untuk memenuhi permintaan semakin meningkat.
“Pada masa sama ia juga bagi menampung keperluan rumah bukan sahaja untuk mereka yang berpendapatan rendah tetapi juga mereka yang berpendapatan pertengahan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu semalam.
Menurut Abang Johari, dasar itu juga bertujuan menambah baik spesifikasi minimum unit perumahan kos rendah terdahulu bagi memenuhi jangkaan dan keperluan pembeli rumah yang lebih tinggi.
“Dasar ini mewajibkan pemaju swasta untuk membina peratusan tertentu rumah mampu milik dalam projek pembangunan mereka, khususnya rumah teres jika kawasan tanah dimajukan adalah 10 ekar ke atas.
“Rumah mampu milik dibahagikan kepada dua kategori iaitu Skim Perumahan Khas Rakyat (SPEKTRA) Lite (RM100,000 hingga RM120,000), dan SPEKTRA Medium (RM135,000 hingga RM168,000),” jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu saiz unit rumah juga sudah diperbesarkan dari minimum asal 444 kaki persegi di bawah dasar perumahan kos rendah lama kepada minimum 700 kaki persegi.
Malah, katanya lagi, pemaju swasta bercadang memajukan tanah mereka bagi flat, pangsapuri, kondominium atau rumah bandar diwajib membina peratusan tertentu rumah mampu milik dalam projek pembangunan mereka jika kawasan tanah yang dibangunkan adalah empat ekar ke atas.
“Harga flat mampu milik harus ditetapkan tidak melebihi RM120,000 seunit dengan kawasan lantai minimum 700 kaki persegi,” tambahnya.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu turut berkata, isu kepadatan dan membolehkan penggunaan tanah yang lebih optimum khususnya di kawasan bandar di mana tanah untuk perumahan adalah sedikit juga telah dikaji semula.
Sehubungan itu, beliau memberitahu kerajaan akan meneruskan usaha untuk menstabilkan harga rumah khususnya di kawasan bandar di negeri ini dengan membangunkan lebih banyak kawasan perumahan mampu miliki di lokasi yang sesuai di bawah projek PR1MA.-UB
Kerajaan Negeri Berusaha Bina Rumah Mampu Milik
Reviewed by Unknown
on
August 27, 2016
Rating:
No comments: