Foto AFP |
PARIS: Beberapa datuk bandar di Perancis masih enggan menamatkan larangan ke atas pemakaian burkini walaupun mahkamah tertinggi negara itu memutuskannya sebagai tidak sah.
Pada Jumaat lalu, Majlis Negara Perancis menggantung larangan ke atas pakaian mandi yang menutup seluruh badan wanita Islam yang mencetus kontroversi atas alasan ia melanggar kebebasan asas berpakaian, lambang beragama dan pergerakan.
Sehingga semalam, lebih 20 datuk bandar Perancis masih enggan menggantung larangan itu.
Ini bermakna, polis perbandaran masih boleh menyekat dan mendenda wanita yang memakai burkini walaupun kenyataan yang dikeluarkan Majlis mengatakan sekatan itu adalah "pelanggaran serius dan nyata yang menyalahi undang-undang asas kebebasan."
Dalam satu temu bual yang disiarkan semalam, Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve, berkata selain hanya mencetuskan ketegangan antara masyarakat, larangan itu juga tidak mengikut perlembagaan.
"Kerajaan enggan menggubal undang-undang mengenai perkara ini kerana ia akan menjadi undang-undang yang tidak berperlembagaan, tidak berkesan dan mungkin mewujudkan permusuhan dan ketegangan yang tidak boleh diperbaiki.
"Kita tidak memerlukan undang-undang baru. Undang-undang semasa sudah jelas menggariskan sekularisme di Perancis," katanya. - Agensi
Larangan Burkini tidak ikut perlembagaan - Menteri Perancis
Reviewed by Admin
on
August 29, 2016
Rating:
No comments: