Seo Services

MERCY Malaysia Jelajah Ulu Limbang


KUCHING: Misi NGO MERCY MALAYSIA Sarawak Chapter membawa pasukan  perubatan dan pergigian ke Ba’Medamot berlangsung dengan jayanya. Kali ini, Mercy Malaysia Sarawak Chapter dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak disertai oleh 16 orang sukarelawan yang kebanyakkannya terdiri dari mereka yang mempunyai latar belakang perubatan.
Perjalanan pasukan bermula pada 28 Julai dengan penerbangan dari Kuching ke Miri. Dari Miri, mereka meneruskan pula penerbangan menuju ke Limbang. Perjalanan dari Limbang diteruskan menggunakan jalan darat menaiki kenderaan pacuan empat roda  menuju ke Kem Balak Vestar, Ulu Limbang yang mengambil masa selama 5 jam. Rombongan tiba kira-kira pukul 5 petang dan bermalam disana.
Kem Balak Vestar terletak kira-kira 160 km dari Bandar Limbang dan teletak kira-kira 900 meter dari aras laut. Suhu di kawasan tersebut sangat dingin. Hampir menyamai kedinginan di kawasan Kundasang, Sabah. Pihak pengurusan kem telah menyediakan makan malam dan beberapa bilik untuk penginapan peserta rombongan.
Mengetahui pasukan Mercy Malaysia bermalam di kem tersebut, kesempatan digunakan oleh pekerja-pekerja kem dan penduduk kampung berhampiran untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan pergigian. Rata-rata penduduk dari kawasan berhampiran kem adalah berbangsa Penan dan ada yang terpaksa berjalan hampir sehari semata-mata untuk mendapatkan rawatan. Pekerja kem balak pula terdiri dari warga asing iaitu Indonesia.
Keesokan harinya, perjalanan menuju ke Ba’Medamot diteruskan seawal jam 7 pagi. Bahagian pertama perjalanan adalah menggunakan jalan darat menaiki pacuan empat roda yang mengambil masa lebih kurang 2 jam manakala untuk bahagian kedua, sukarelawan MERCY terpaksa berjalan meredah hutan selama  2 jam setengah.
Perjalanan mereka diiringi oleh beberapa orang Penan yang membantu pihak Mercy membawa segala peralatan dan ubat-ubatan. Mereka terpaksa berjalan menuruni gunong dan merentas sungai menuju ke lembah tempat penempatan kekal kepada kaum Penan di situ. Kawasan penempatan kekal ini telah disediakan oleh pihak Jabatan Perhutanan Sarawak di bawah Projek Komuniti.
Klinik bergerak MERCY dibuka kira-kira pukul satu petang. Sepanjang perkhidmatan kesihatan dilakukan, sebanyak lebih kurang 100 orang pesakit di kawasan Ulu Limbang termasuk 52 buah keluarga Penan dari kawasan berhampiran telah berjaya diberi rawatan kesihatan termasuk rawatan pergigian.
Ketika memberikan perkhidmatan kesihatan, pihak Mercy hanya menggunakan peralatan dan ubat-ubatan asas. Ini bagi mengurangkan jumlah peralatan dan ubat-ubatan yang perlu dibawa kerana perjalanan untuk sampai ke tempat tersebut amat sukar.

Khidmat perubatan dan pergigian dihentikan kira-kira pukul 5:30 petang dan pasukan Mercy Malaysia Sarawak Chapter bermalam di Ba’Medamot. Sementara menunggu makan malam disediakan oleh pihak Jabatan Perhutanan, ada diantara mereka yang berkesempatan untuk mandi sungai dan berjalan-jalan menikmati keindahan hutan.
Kehidupan malam penduduk di kawasan tersebut amat ringkas. Tiada hiburan mahupun apa-apa aktiviti. Hanya kedengaran majlis makan dan perbincangan dari pihak Mercy Malaysia dan Pihak Jabatan Hutan Negeri Sarawak. Memasuki waktu tidur, segalanya senyap sunyi dan gelap.

Rombongan berangkat balik ke Kem Balak Vestar seawal jam 7 pagi. Sekali lagi sukarelawan Mercy di uji. Kalau semalam, mereka menuju ke Ba’Medamot dengan menuruni gunong, kali ini mereka terpaksa mendaki gunong menerusi laluan semalam. Perjalanan menuju ke check point mengambil masa kira-kira 3 jam.
Dari check point tersebut, mereka kembali ke Kem Vestar semula. Selesai mengemas barang dan makan tengah hari, mereka pun berangkat balik ke Bandar Limbang. Rombongan tiba di Limbang kira-kira jam 5:30 petang.

Waktu malam di Limbang tidak disia-siakan. Rombongan telah dibawa menikmati makan malam anjuran Lee Ling Timber iaitu pengurusan Kem Balak Vestar, di Hotel Purnama.
Keesokan harinya, rombongan berangkat ke Miri menaiki penerbangan pukul 3:00 petang. Tiba di Miri, mereka berangkat kembali ke Kuching pada pukul 9 malam dan tiba di Kuching kira-kira pukul 10 malam.
MERCY Malaysia Jelajah Ulu Limbang MERCY Malaysia Jelajah Ulu Limbang Reviewed by Azmin on August 01, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.