Foto Berita Harian |
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggariskan tiga isu utama yang perlu diberi perhatian di rantau Asia jika mahu memastikan kedudukan ekonomi dan politik dalam negara terjamin, selamat serta kukuh.
Perdana Menteri berkata, ia merangkumi soal kemiskinan, ancaman keganasan global dan pemusnahan alam sekitar.
"Berdasarkan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Asia kekal menjadi benua yang penduduknya paling ramai menghadapi kebuluran.
"Mengikut Pangkalan Data Keganasan Global, lebih 140,000 terkorban angkara keganasan di antara tahun 2000 hingga 2014, jumlah yang hampir sama dengan kematian disebabkan korban akibat bom atom di Hiroshima pada tahun 1945.
"Dalam isu alam sekitar, antara isu besar dihadapi ialah pencemaran udara khususnya jerebu yang kerap berlaku, termasuk minggu ini.
"Untuk terus relevan kepada rakyat, kerajaan termasuk parti politik bertanggungjawab untuk bukan sahaja memelihara prinsip demokrasi tetapi memastikan kestabilan ekonomi dan keselamatan rakyat," katanya berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawankuasa ICAPP, Jose de Venecia.
Sementara itu, Najib berkata, UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) di Malaysia, adalah antara parti paling berjaya di dunia.
Perdana Menteri berkata, ia dapat dilihat apabila UMNO diberi mandat berterusan oleh rakyat sejak pilihan raya umum pertama pada tahun 1955, dua tahun sebelum negara merdeka dan sokongan itu berkekalan sehingga sekarang.
"Banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini. Kami parti untuk orang Melayu tetapi UMNO sentiasa menghulurkan salam persahabatan dengan semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan warna kulit, agama atau bangsa.
"Perpaduan dan solidariti adalah keutamaan kami. Kami mendahulukan kebajikan rakyat, mendengar suara mereka dan paling utama kami terbukti mampu mengurus di peringkat nasional dan setempat," katanya. -BH
Asia Hadapi Cabaran Baharu - Najib
Reviewed by Unknown
on
September 02, 2016
Rating:
No comments: