KUALA LUMPUR : Lupakan kekecewaan, fokus pada kejohanan. Datuk Lee Chong Wei yang kini sudah menyambung semula latihannya hanya akan menumpukan perhatian menjelang Terbuka Jepun hujung bulan depan.
Chong Wei yang meraih pingat perak Olimpik ketiga berturut-turut, mengakui sudah melupakan kekecewaan di Rio sebaik tiba di tanah air minggu lalu.
“Sekarang saya sudah mula untuk persiapan menghadapi Terbuka Jepun dan fokus saya adalah mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik,” katanya selepas menyertai perarakan Sambutan Kemerdekaan ke-59 di Dataran Merdeka, semalam.
Pemain berusia 34 tahun itu, sudah kembali menjalani latihan sejak Isnin lalu dan kini dalam proses mendapatkan kembali tahap kecergasannya selepas berehat selama seminggu sejak kembali dari Rio de Janeiro, Brazil.
“Saya tidak mahu fikir lagi mengenai Olimpik, selepas dua bulan lebih membuat persiapan menghadapi Olimpik, semua sudah tahu keputusannya.
“Kita perlu terima keputusan ini dan kehidupan perlu diteruskan,” katanya.
Dia yang diletakkan sebagai pilihan pertama, akan membuka tirai saingan di pusingan pertama Terbuka Jepun menentang pemain Thailand, Boonsak Ponsana.
Tahun lalu dia beraksi di pusingan kelayakan dan kalah kepada Lin Dan (China) di pusingan kedua. - HM
Chong Wei Tumpu Terbuka Jepun Bulan Depan
Reviewed by Unknown
on
September 01, 2016
Rating:
No comments: