KOTA SAMARAHAN: Golongan belia tidak seharusnya mudah mengambil tindakan mengikut emosi kerana menerusi media sosial sesiapa sahaja mudah mencetuskan pelbagai kontroversi sama ada melalui facebook, twitter atau instagram, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, sejak akhir-akhir ini timbul pelbagai kejadian negatif akibat kealpaan pengguna media sosial yang menggunalan saluran maya mengikut emosi.
Sebaliknya Fadillah menegaskan, golongan belia khasnya pelajar perlu meletakkan nilai tambah dalam diri masing-masing agar dapat menjadi contoh dan sumber rujukan terbaik kepada masyarakat.
"Kita tidak mahu anak-anak muda menjadi rapuh, sehingga mudah terhakis jati diri. Nilai-nilai murni yang dididik ibu bapa kita sejak kecil haruslah dihayati.
"Kita tidak mahu melahirkan golongan intelek yang cerdik namun buta hati," katanya berucap pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Bagi Ambilan September Sesi 2016/2017 di sini, hari ini.
Malah menurut Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya, kerajaan amat menitikberatkan pembangunan modal insan setiap tahun dengan peruntukan ratusan juta ringgit.
"Pembangunan bukan hanya tertumpu kepada modal insan di intitusi pengajian tinggi (IPT) malah kepada graduan yang menamatkan pengajian mereka.
"Dalam Pelam Pembangunan Pendidikan Malaysia Pendidikan Tinggi, salah satu lonjakan ketara yang ingin diaspirasikan kerajaan ialah meningkatkan peratusan kebolehpasaran graduan melebihi 80 peratus," ujarnya.
Turut hadir Pro Canselor UNIMAS Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi dan Naib Canselor UNIMAS Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. -Sarawakiana.
Jangan Bertindak Ikut Emosi - Fadillah
Reviewed by Unknown
on
September 02, 2016
Rating:
No comments: