KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes seorang bayi lelaki ditinggalkan di dalam kotak di hadapan sebuah masjid di Taman Melawati, di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek agar menyalurkannya kepada polis.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak membuang kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua belas tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Hamzah berkata Isnin lepas, polis mendapat maklumat daripada orang awam pada 8.23 malam yang menjumpai bayi berkenaan di hadapan masjid itu.
"Anggota Unit Rondaan Bermotosikal kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati seorang bayi lelaki dalam keadaan baik di dalam sebuah kotak," katanya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menjumpai sekeping nota yang ditinggalkan di dalam kotak bersama bayi tersebut.
Katanya bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.- Bernama
Polis kesan individu tinggalkan bayi di Masjid Taman Melawati
Reviewed by uMieySurianie
on
November 24, 2016
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
November 24, 2016
Rating:

No comments: