KUCHING: Sebanyak 15 rumah di Kampung Temaga Melayu, Lundu/Sematan dekat sini dimasuki air ekoran hujan tanpa henti sejak kelmarin.
Menurut ketua kampung berkenaan, Osman Ibrahim, kebanyakan rumah terjejas adalah jenis satu tingkat.
“Air mula melimpah masuk ke dalam rumah penduduk pada sekitar jam 10 pagi (semalam) dengan paras kira-kira dua kaki,” katanya sambil menambah banjir kilat itu kemudian surut pada jam 1 petang semalam.
Osman berkata kawasan Kampung Temaga Melayu merupakan laluan limpahan air dan paras air akan naik mendadak selama empat hingga lapan jam mengikut tempoh pasang surut air laut.
Namun demikian, katanya penduduk terjejas kemungkinan tidak mahu berpindah memandangkan tempoh air bah adalah tidak lama.
Sementara, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bau, Lundu dan Sematan Mackinly Jores ketika dihubungi berkata paras air di kampung berkenaan semakin surut pada petang semalam.
“Walaupun air surut tetapi keadaan masih lagi di peringkat berjaga-jaga memandangkan cuaca masih hujan di Sematan,” katanya.
Selain Kampung Temaga Melayu, sebuah rumah di Kampung Paon, Lundu/ Sematan turut dinaiki air sedalam setengah kaki namun banjir kilat tersebut surut sejurus selepas itu.
Beliau menambah, tiada pusat pemindahan dibuka di kawasan berkenaan setakat ini walaupun sudah mula terjejas banjir.
Selain rumah, dua laluan di sepanjang Jalan Lundu/ Sematan iaitu berhampiran SMK Sematan dan Jambatan Sungai Sebar turut dinaiki air, dianggar sedalam dua kaki.
Keadaan itu menyebabkan jalan utama terbabit tidak dapat dilalui oleh kenderaan sehingga air mula surut pada petang semalam. - UB
15 rumah Kampung Temaga Melayu Sematan dinaiki air
Reviewed by Azmin
on
December 29, 2016
Rating:
No comments: