Seo Services

Daie Hospital TBS Cari Pesakit Perlu Bantuan


KUCHING: Tidak semua insan bernasib baik terutama di bandar besar kerana ada yang terpaksa membanting tulang serta memerah keringat mencari rezeki demi sesuap nasi.

Bersandar kepada kesusahan hidup dihadapi, tambahan pula beban lain seperti ditimpa penyakit, tentu sahaja derita ditanggung tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Justeru, mengambil teladan daripada sedikit kisah masyarakat jarang mendapat perhatian telah berjaya membuka mata kumpulan Daie Hospital dari Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) untuk melakukan sesuatu.

Bergerak secara berkumpulan, empat Daie TBS mencari pesakit daripada keluarga susah memerlukan bantuan.

Tidak hanya mengunjungi Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, kumpulan daie itu juga turut mengunjungi Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (PJHUS)terletak di Kota Samarahan.

Menurut salah seorang Daie Hospital TBS Siti Nursiah Abdullah ketika ditemui pemberita semalam, kumpulan mereka kebiasaannya berada di hospital dari hari Isnin hingga Khamis, jam 9 pagi hingga 11 pagi.

Keberadaan mereka di hospital untuk mencari pesakit beragama Islam, khususnya yang memerlukan bantuan terutama membabitkan proses permohonan bantuan sara hidup daripada TBS, jelasnya.

“Kebanyakan kami (Daie Hospital TBS) bantu adalah masyarakat datang dari kawasan luar bandar di negeri ini yang mendapatkan rawatan di HUS mahupun di Pusat Jantung (Kota Samarahan).

“Mereka mengalami kesukaran pergi ke pejabat TBS bagi memohon bantuan, mungkin atas sebab sakit, atau masalah pengangkutan.

“Justeru adanya kehadiran kami di hospital, dapat membantu mereka menyediakan borang permohonan bantuan selain menjalankan kaji selidik secara langsung kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, dalam erti kata lain, kumpulan daie ini akan mencari golongan sasar seperti golongan asnaf yang mahu memohon bantuan.

Mula ditubuh sejak 2013, jelas Siti Nursiah, hampir ribuan pesakit telah dibantu oleh TBS melalui pasukan Daie Hospital TBS itu.

Katanya, pesakit yang dibantu tidak hanya dari Kuching, sebaliknya pesakit yang datang dari semua bahagian di seluruh Sarawak.

“Selain membantu memudahkan urusan permohonan bantuan TBS kepada para pesakit asnaf, kami juga membantu mengazankan bayi Islam baharu dilahirkan selain memberi mandi jenazah sama ada sudah tidak mempunyai waris mahupun masih ada waris termasuk menguruskan jenazah sehingga selamat disemadikan,” katanya lagi.

Khatijah Osman, 42, penghidap kanser payu dara tahap empat kini sedang menerima rawatan di HUS melahirkan penghargaan terima kasih kepada Daie Hospital TBS kerana membantunya dalam memudahkan proses permohonan bantuan.

“Saya begitu terharu dengan bantuan ini dan ia jelas sekali mengurangkan beban saya yang sedang sakit ini.

“Saya memiliki tiga anak dalam lingkungan satu hingga tiga tahun, dan suami pula mengambil upah sebagai pemandu.

“Gaji diterima tidaklah terlalu besar dan dengan adanya bantuan daripada pihak TBS, saya sangat bersyukur ia dapat meringankan serba sedikit penderitaan kami terutama untuk perbelanjaan anak-anak yang masih kecil,” katanya dalam nada sebak.

Selain Siti Nursiah, tiga Daie Hospital TBS lain ialah Masait Bolhassan, Ghafar Mat dan Mohamed Sunaini Kawi.-UB
Daie Hospital TBS Cari Pesakit Perlu Bantuan Daie Hospital TBS Cari Pesakit Perlu Bantuan Reviewed by Unknown on December 23, 2016 Rating: 5

1 comment:

  1. Perlu di perluas terutama hospital luar bandaraya..spt kapit, mukah, dalat,limbang,kanowit, sarikei, lundu, serian dsb
    Tahniah...proaktif

    ReplyDelete

ads 728x90 B
Powered by Blogger.