MEUREUDU: Penyelamat meneruskan usaha pencarian di sisa runtuhan rumah, kedai dan masjid bagi mencari mangsa yang masih hidup hari ini selepas gempa bumi kuat melanda Aceh, semalam yang meragut sekurang-kurangnya 97 nyawa.
Gempa 6.5 magnitud melanda wilayah berkenaan yang pernah mengalami kemusnahan paling teruk pada tsunami tahun 2004, ketika kebanyakan penduduk Islam sedang bersiap untuk menunaikan solat subuh.
"Sehingga ini 97 orang maut dan angka berkenaan terus meningkat," kata Jeneral Angkatan Tentera Aceh, Tatang Sulaiman kepada AFP selepas tentera mengambil tanggungjawab untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.
"Apabila kami mengesan mayat, kadang-kala ia mengandungi tiga hingga lima orang, ada sehingga 10," katanya.
Lebih 1,000 askar dan 900 anggota polis dikerah ke Pidie Jaya, daerah paling teruk kerosakan kali ini untuk menyediakan tempat perlindungan sementara dan tumpuan usaha menyelamat.
Penyelamat menggunakan jentera jengkaut serta tenaga masing-masing untuk mengorek dan membawa keluar serpihan dan sisa runtuhan bagi mencari kemungkinan mereka yang masih bernyawa.
Ratusan rumah dan kedai runtuh akibat gempa menyebabkan penduduk kehilangan tempat berlindung serta keperluan asas seperti makanan dan air, kata pegawai tempatan. "Bekalan elektrik masih tergendala.
Ada tempat menggunakan generator namun jumlahnya tidak banyak," kata Ketua Agensi Bencana Aceh, Puteh Manaf. "Jika hujan berterusan, penyakit akan muncul," katanya.
Satu-satunya hospital di Pidie Jaya kini sesak dengan pesakit yang mahukan rawatan sehingga terpaksa duduk di kawasan berumput di depan hospital sebelum mereka dipindahkan ke hospital lain yang mempunyai kemudahan lebih baik.
Pegawai Kesihatan Daerah, Said Abdullah, berkata kira-kira 200 mangsa yang cedera sudah dirawat sejak gempa berlaku namun masih ramai yang enggan ke hospital kerana masih terkejut dengan kejadian itu. "Kami merawat mereka di luar.
Kami mengeluarkan katil kerana tiada sesiapa pun mahu memasuki dalam hospital akibat trauma," katanya. Sebuah lagi hospital di Aceh mengalami kerosakan yang serius bersama beberapa sekolah dan kemudahan infrastruktur lain. - AFP
Gempa Aceh : Penyelamat Tingkat Usaha Pencarian Mangsa
Reviewed by Unknown
on
December 08, 2016
Rating:
No comments: