Seo Services

Jabatan Penerangan Masih Relevan - Anggota Parlimen Kanowit


SIBU, 10 Dis (Bernama) -- Jabatan Penerangan masih lagi relevan sebagai sebuah agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan polisi kerajaan kepada rakyat luar bandar di Sarawak.

Anggota Parlimen Kanowit Aaron Ago Dagang berkata, walaupun pada masa kini terdapat pelbagai peralatan telekomunikasi termasuk telefon pintar untuk menyampaikan maklumat namun jabatan tersebut tetap diperlukan bagi memberi maklumat-maklumat yang benar dan terkini kepada rakyat.

Menurutnya, jabatan itu mula ditubuhkan di Sarawak pada 1950 dan dikenali sebagai Bahagian Perhubungan Awam di Sekretariat Kerajaan Negeri Sarawak sebelum menjadi Government of Sarawak Information Services (GSIS) yang ditubuhkan Kerajaan British ketika itu.

"Memang tidak dinafikan peranan Jabatan Penerangan masih lagi penting dan relevan dalam menyebarkan polisi kerajaan kepada rakyat luar bandar di Sarawak. Banyak pengalaman pahit manis dilalui warganya sejak kewujudannya," katanya pada majlis sambutan 106 tahun Jabatan Penerangan Malaysia 1910-2016 peringkat negeri Sarawak di Kompleks Islam di sini malam tadi.

Aaron berkata, beliau masih lagi mengingati bagaimana Jabatan Penerangan di negeri ini termasuk Sibu, yang mana RASCOM (Kawasan Keselamatan Rajang) beroperasi sekitar 1960-an dan 1970-an memainkan peranan mereka.

"Saya masih ingat lagi jabatan ini pernah digelar sebagai jabatan wayang di mana mereka pergi ke rumah-rumah panjang mengadakan pertunjukan wayang kepada penduduk," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa warga jabatan tersebut pada hari ini supaya menjadikan kegemilangan masa lalu sebagai pendorong dalam mengharungi cabaran yang akan datang semasa menjalankan tugas.

Pada hari ini, katanya, jabatan tersebut tidak dapat lari daripada mengalami perubahan dan pembaharuan dalam menjalankan peranan mereka berikutan perkembangan teknologi komunikasi.

Turut hadir Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon Abang Hashim serta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan jabatan dari seluruh negeri ini. -- BERNAMA
Jabatan Penerangan Masih Relevan - Anggota Parlimen Kanowit  Jabatan Penerangan Masih Relevan - Anggota Parlimen Kanowit Reviewed by Admin on December 10, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.