Seo Services

Pasang Pelekat Pemantul Cahaya Sah Bermula Januari



MIRI : Ahli-ahli Persatuan Pemilik-Pemilik Lori Miri (MLOA) diingatkan untuk memasang pelekat pemantul cahaya disahkan di kenderaan mereka berkuat kuasa Januari depan.

Pengerusi, Bruce Chai berkata, pemantul cahaya itu perlu mematuhi piawaian Malaysia Standard MS828:2011 yang diiktiraf SIRIM Berhad.

“Kita mengingatkan ahli kita memasang hanya pelekat berstandard SIRIM sebelum 1 Januari seperti yang dikehendaki pihak JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya.

Persatuan kini dianggotai lebih 100 ahli terdiri dari pemilik lori komersial, lori (dump trucks), semitrailer, treler kontena dan ‘lowbed’ trailer.

Bruce yang juga Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan Lori Sarawak (FSLA) memberitahu, sesi dialog tentang peraturan itu diadakan di Kuching pada 15 Disember lalu di JPJ Kuching.

Dialog dihadiri oleh Pengarah Kejuruteraan Automatif JPJ Malaysia Dato Mohamad Dalib, SIRIM Malaysia, PUSPAKOM dan ahli FSLA.

Bruce memberitahu, MLOA merupakan ahli kepada FSLA.

“Hanya pelekat diluluskan SIRIM sahaja dibenarkan. Hanya pelekat SIRIM sahaja diterima oleh JPJ dan pemeriksaan PUSPAKOM,” tegas beliau.

Pemilik akan dikenakan denda pihak berkuasa sekiranya gagal memasang pelekat yang disah bermula 1 Januari.

JPJ telah memberi tempoh lanjutan sehingga 31 Disember ini kepada semua kenderaan perdagangan untuk mematuhi peraturan tersebut.

Semua pemilik kenderaan diharap dapat mematuhi peraturan dan memberi kerjasama untuk keselamatan semua pengguna jalan raya.

Setiap kenderaan perlu memasang tiga pemantul cahaya iaitu di belakang serta di kiri dan kanan kenderaan dengan jarak penglihatan dianggarkan sejauh 400 meter dari kenderaan di belakang.

Pelekat berstandard SIRIM diyakini akan meningkatkan amaran penglihatan kepada pengguna jalan raya lain khasnya pada waktu malam.
Pasang Pelekat Pemantul Cahaya Sah Bermula Januari Pasang Pelekat Pemantul Cahaya Sah Bermula Januari Reviewed by Unknown on December 24, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.