Seo Services

Pengguna Terminal Bot Ekspres Sibu Dijangka Meningkat



SIBU : Seramai 14,677 penumpang menggunakan Terminal Ekspres Sibu antara 15 Disember hingga 21 Disember dan jumlah itu dijangka lebih tinggi semalam sempena sambutan Hari Krismas semakin dekat.

Menurut Penolong Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) (Wilayah 2) Christopher Chan, jumlah penumpang akan mula menurun menjelang malam Krismas kerana kebanyakan pengguna telah pulang ke kampung masing-masing.

“Terdapat lebih banyak laluan pergi ke hulu sungai (Song dan Kapit) berbanding ke hilir, di mana jumlah penumpang akan perlahan-lahan meningkat dan akhirnya memuncak pada 23 Disember (semalam) sebelum malam Krismas,” katanya kepada Utusan Borneo kelmarin.

Chan berkata demikian ketika ditanya sama ada orang ramai yang balik kampung di terminal sudah bertambah ketika musim perayaan ini.

Daripada 14,677 penumpang, 8,136 merupakan penumpang yang tiba di Terminal Ekspres Sibu, manakala 6,541 penumpang merupakan yang berlepas dari terminal berkenaan.

Ponton RC yang terletak disepanjang Jalan Khoo Peng Loong di sini, yang mempunyai banyak destinasi ke hilir iaitu ke Pasin dan Daro dan sebagainya, menerima 2,089 penumpang di antara 19 Disember hingga 21 Disember.

Menurut Chan, mereka telah memperketatkan penguatkuasaan di Terminal Ekspres Sibu dan Ponton RC bagi memastikan kejadian yang tidak diingini dapat dielak.

Selain pemeriksaan keadaan fasiliti, turut diperiksa adalah muatan yang dibawa oleh setiap bot penumpang untuk mengelak berlaku lebihan muatan.

Polisi ‘Tiada Tiket, Tidak Dibenarkan Masuk’ juga diketatkan penguatkuasaannya di terminal bagi mengelak mereka tidak mempunyai tiket memenuhi ruang di terminal.

Antara lain, semasa pemeriksaan sebelum berlepas, jaket keselamatan akan diperiksa terlebih dahulu, sama ada diletakkan di atas rak di atas kepala atau bawah kerusi penumpang, katanya.

Tambahnya, mereka juga turut memeriksa bot persendirian dan bot panjang bagi memastikan mereka menjaga keselamatan dengan menggunakan jaket keselamatan apabila menggunakan laluan sungai.

Kemeriahan sambutan Krismas semakin dapat dirasai apabila orang ramai mula memenuhi ruang di Terminal Ekspres Sibu di sini, semalam.

Sementara itu, fasa kedua dijangka akan bermula pada hujung tahun 31 Disember hingga 2 Januari 2017 di mana orang ramai mula kembali ke kota untuk bekerja dan musim persekolahan telah bermula.-UB
Pengguna Terminal Bot Ekspres Sibu Dijangka Meningkat Pengguna Terminal Bot Ekspres Sibu Dijangka Meningkat Reviewed by Unknown on December 24, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.