HANOI, 10 Dis (Bernama) -- Pelan tindakan usaha sama strategik Malaysia-Vietnam dijangkakan siap pada awal 2017, bagi mencapai sasaran dagangan dua hala bernilai US$15 bilion menjelang 2020.
"Kami sudah memberikan input kepada Vietnam. Saya jangkakan awal tahun depan ia dapat dimuktamadkan," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau bercakap kepada media Malaysia di sini pada Jumaat selepas selesai misi perniagaannya di sini. Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Vietnam Mohd Zamruni Khalid.
Sehingga 2015, dagangan dua hala Malaysia-Vietnam sebanyak US$9.3 bilion, meningkat daripada US$2.2 bilion pada 2005.
Dalam kalangan ASEAN, Vietnam merupakan rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import keempat terbesar Malaysia dari 2012 hingga 2015, manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Vietnam pada 2015.
Pada 2016, dagangan dua hala diunjurkan bernilai US$10 bilion.
Mustapa berkata kedua-dua kerajaan mempunyai komitmen yang tinggi untuk meningkatkan pelaksanaan usaha sama strategik itu.
Pada Ogos 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen Tan Dung, menetapkan sasaran dua hala sebanyak US$15 bilion atau lebih tinggi menjelang 2020.
"Dalam tempoh empat tahun akan datang, kami perlu mengembangkan hasil sebanyak kira-kira 20 peratus setahun.
"Agak sukar, namun yang jelas kadar pertumbuhan dengan Vietnam lebih tinggi daripada purata," kata Mustapa yang menekankan bahawa syarikat Malaysia mempunyai masa depan yang cerah di Vietnam, selari dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh sejak kebelakangan ini.
Menurut Bank Dunia, pertumbuhan KDNK Vietnam antara yang paling cepat berkembang di dunia sejak tahun 1990-an, pada purata 6.4 peratus pada tahun 2000-an.
Ekonomi Vietnam teus mengukuh pada 2015, dengan kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 6.7 peratus.
Antara sektor ekonomi Vietnam yang wajar diteroka oleh syarikat Malaysia ialah sektor tenaga, infarstruktur serta minyak dan gas.
"Mereka perlukan banyak pelaburan dalam sektor tenaga dan lebuh raya yang menghubungkan Utara dan Selatan. Saya yakin syarikat Malaysia bersedia untuk mengkaji peluang ini," kata Mustapa.
Bagi menarik pelaburan dalam negeri (Vietnam), Mustapa melihat program Malaysia Rumah Keduaku dan pelancongan kesihatan, sebagai dua bidang berpotensi untuk diteroka.
"Saya dapati banyak potensi dalam Malaysia Rumah Keduaku ekoran peningkatan kelas pertengahan di Vietnam dan di luar Vietnam. Minat ke atas pelancongan kesihatan juga semakin meningkat," katanya.
Mustapa yang mengetuai delegasi 40 anggota yang terdiri daripada pemimpin perniagaan daripada Kelab Perniagaan ASEAN dan Kelab Perniagaan Kuala Lumpur, berkata kerajaan akan mendapatkan sektor perniagaan untuk terlibat dalam memacu usaha promosi. -- BERNAMA
Pelan Tindakan Untuk Usaha Sama Strategik Malaysia-Vietnam Siap Awal 2017
Reviewed by Admin
on
December 10, 2016
Rating:
Reviewed by Admin
on
December 10, 2016
Rating:

No comments: