JOHOR BAHRU: Pemandu bas kedua atau gantian yang seharusnya menemani pemandu utama bas ekspres terbabit nahas yang menyebabkan 14 penumpangnya maut Sabtu lalu, dijangka memberi kenyataan kepada polis Jumaat ini.
Ketua Penyelia Wilayah Selatan Goldstar Ekspress (M) Sdn Bhd, Steven Chong, berkata pemandu kedua berkenaan, Mohamad Saufee, sudah menghubungi syarikat bas berkenaan dan akan dibawa memberi kenyataan kepada polis.
Katanya, sebelum ini, Mohamad Saufee gagal dikesan dan tidak datang bekerja seperti biasa menyebabkan pelbagai spekulasi mula timbul.
"Kami tidak tahu punca Mohamad Saufee menghilangkan diri, sama ada disebabkan beliau trauma, rasa bersalah atau ketakutan. Namun, kita percaya kenyataannya kepada polis nanti akan membantu siasatan pihak berkuasa terhadap tragedi yang berlaku.
"Biarlah pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan syarikat tidak akan memberi kenyataan lagi sehingga laporan siasatan penuh dikeluarkan nanti," katanya ketika dihubungi BH.
Isnin lalu, BH melaporkan pemandu bas kedua atau gantian berkenaan tidak berada dalam bas terbabit, sebaliknya diturunkan selepas keluar dari Terminal Bas Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Jumaat lalu.
Sementara itu, Chong berkata, syarikat bas berkenaan akan menanggung semua bayaran rawatan hospital penumpang yang cedera, termasuk isteri pemandu bas, Miyarseh Kemart, yang kini sudah dipindahkan ke hospital di Pulau Pinang.
"Syarikat tidak akan lepas tangan walaupun sebelum ini timbul sedikit masalah penyelarasan penyaluran bantuan, namun ia sudah diatasi.
"Peguam syarikat juga sedang memperincikan maklumat bagi membolehkan bayaran pampasan dibuat kepada waris keluarga penumpang yang maut," katanya.- Berita Harian
Pemandu Bas Kedua Dijangka Beri Kenyataan Jumaat Ini
Reviewed by uMieySurianie
on
December 28, 2016
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
December 28, 2016
Rating:

No comments: