KUCHING : Jika hendak merasai makanan yang berteraskan tradisi kampung, mungkin sukar untuk memperolehi di bandar-bandar kerana masakan pada hari ini sudah bercampur dengan masakan ala barat dan India.
Namun di sebalik kesukaran tersebut, terdapat sebuah kafe yang beridentitikan masakan tradisi kampung dari kaum Melayu yang menjadi menu serta penarik pelanggan untuk merasai keaslian menu masakan tersebut.
Kafe Bintang Sore berlokasi di Matang telah menjadi tumpuan penggemar masakan tradisi kampung.
Pemilik kafe, Yati 48, berkata, nama kafe tersebut diambil sempena nama nenek (Bintang) dan permandangan dari arah kedai ke matahari terbenam (Sore) justeru timbul idea menamakan kafe tersebut sebagai Kafe Bintang Sore.
"Dalam bidang perniagaan makanan, saya sudah menceburi selama lapan tahun dan pada awalnya saya menyewa 'stall' di kedai kopi lain.
"Setelah perniagaan mendapat sambutan, saya berbincang bersama suami untuk membuka sebuah kedai yang berkonsepkan masakan asli kampung di Sarawak," katanya.
Yati berkata, antara lauk pauk yang menjadi kegemaran ialah sayur rebung belacan, nangka masak lemak ala Sarawak, asam pedas, dan bermacam-macam lagi.
"Kebanyakkan masakan kampung ini banyak terdiri daripada sayur-sayuran yang menjadi makanan asli masyarakat Sarawak seperti rebung, kulat dan sebagainya.
"Ikan masak asam pedas, ayam masak kicap, udang sungai rebus dan sebagainya menjadi penarik selera pelanggan," ujarnya.
Menurut Yati, sambutan pelanggan terhadap masakan di sini memang begitu menggalakkan sehingga pihak RTM membuat rakaman mengenai masakan tradisi kampung di Sarawak dan kafe ini telah diberi plak 'Inbox Aura Srikandi 2016' oleh RTM.
"Saya turut bercita-cita membuka cawangan di Semenanjung Malaysia untuk mempromosikan masakan tradisi kampung Sarawak.
"Pesanan saya buat remaja khususnya Bumiputera agar berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang perniagaan dan jangan berputus asa kerana dalam perniagaan tiada istilah berputus asa," tambahnya.
Diakhir perbualan Yati berkata, antara orang yang telah mengunjungi kafe beliau ialah Kumpulan Rock Crosfire, pelakon Mahmud Ali Basah dan orang kenamaan seperti Datuk Daud Abdul Rahman dan Bekas Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin.-Sarawakiana
Makanan Kampung Di Tengah Bandar
Reviewed by Unknown
on
December 28, 2016
Rating:
Reviewed by Unknown
on
December 28, 2016
Rating:




No comments: