LAHAD DATU: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah mengambil kira aspek teknikal berkaitan ancaman gempa bumi, berikutan kedudukan negeri ini yang terdedah kepada aktiviti pergerakan dalam bumi.
Perdana Menteri berkata, aspek itu sudah dimasukkan dalam skop kerja pembinaan lebuh raya terbabit bagi memastikan infrastruktur berkenaan mampu bertahan jika berlaku gegaran akibat gempa bumi.
"Kementerian Kerja Raya sudah maklum mengenai ancaman gempa bumi dan aspek ini memang dimasukkan dalam pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah," katanya kepada media selepas melancarkan projek itu bagi jajaran Jalan Pintas Lahad Datu, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Laluan yang bermula di Batu 7, Jalan Silam dan berakhir di Batu 3, Jalan Segama itu dibina dengan kos RM165 juta termasuk sebuah jambatan merentasi Sungai Sepagaya sepanjang 32 meter yang direka bentuk dengan mengambil kira aspek gempa bumi.
Sementara itu, ketika berucap, Najib berkata, Kerajaan Pusat sedia menyalurkan peruntukan tambahan untuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah walaupun tidak diminta kerajaan negeri.
Beliau berkata, ia selaras kerjasama baik yang terjalin di antara Kerajaan Pusat dan negeri serta komitmen untuk memastikan Projek Lebuh Raya Pan Borneo dapat disiapkan sepenuhnya.
"Projek ini membabitkan 1,236 kilometer panjang yang mana fasa satu sepanjang 706 kilometer dengan belanja RM12.85 bilion. Ada fasa dua dan tiga, jadi maknanya apabila habis belanjanya lebih besar.
"Sebab itu Musa kata kalau pemimpin ingat budi, peruntukan diminta pasti diberi, tetapi peruntukan tambahan ini tak payah minta, saya akan beri," katanya.
Najib juga turut mengingatkan rakyat negeri ini menolak parti serpihan yang ditubuhkan di negeri ini, selain tidak terperangkap dengan dakyah pemimpin mereka yang menghasut rakyat membenci kerajaan.
Katanya, parti serpihan tidak mampu bertahan lama seperti nasib beberapa parti serpihan sebelum ini termasuk Semangat 46 yang berkubur selepas beberapa lama ditubuhkan.
"Buat apa sokong parti serpihan, dia tak boleh buat projek seperti Lebuh Raya Pan Borneo, mereka hanya tahu menghasut rakyat.
Apa yang kita mahu ialah kerajaan yang boleh melakar masa depan yang baik untuk rakyat," katanya.
Musa pula berkata, kerajaan negeri menghargai keprihatinan Pusat khususnya Perdana Menteri terhadap keperluan pembangunan di negeri ini yang lebih banyak disalurkan berbanding Perdana Menteri sebelum ini.- BH
Projek Ambil Kira Ancaman Gempa Bumi - PM
Reviewed by uMieySurianie
on
December 19, 2016
Rating:
No comments: