Seo Services

Purata Sebulan 5 Kucing Maut Terjun Flat Singapura

Purata Sebulan 5 Kucing Maut Terjun Flat Singapura
SINGAPURA – Secara purata lima ekor kucing dijumpai mati di Singapura setiap bulan setelah terjatuh dari kediaman tinggi dan kebanyakannya merupakan haiwan peliharaan jinak.

Perkara itu didedahkan Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) dan ia menekankan pentingnya bagi para pemilik rumah pangsa supaya memasang jaring pada tingkap flat mereka demi mencegah kematian tragik seumpama itu.

Bercakap kepada agensi berita tempatan Mediacorp, seorang petugas CWS, Veron Lau berkata, anggaran secara umum itu berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya selain catatan yang dimuat naik menerusi media sosial.

Sekitar 95 peratus daripada kucing yang mati secara demikia adalah peliharaan berbanding kucing jalanan yang dijaga oleh orang yang tertentu dan selesa berlegar bebas sekitar kawasan estet perumahan di republik tersebut.

Menurut pengurus kanan CWS yang bertanggungjawab dalam usaha mendampingi masyarakat awam, Laura Ann Meranda, lazimnya apabila seekor kucing terjatuh dari tempat yang agak tinggi, ia akan terdapat kesan darah.

Tompokan cecair yang berwarna merah itu dapat dilihat dengan jelas pada bahagian mulut, selain luka di bahagian belakang dan kawasan dada pada haiwan mamalia comel tersebut akan menjadi cukup padat, tambah beliau lagi.

“Kami biasanya tidak mengklasifikasikan kes sedemikian sebagai penderaan kecuali jika ada saksi kerana ia adalah spekulasi, namun kesan trauma pada bahagian tulang rahang dan dada juga boleh dikenal pasti sebagai terjatuh.

“Bagaimanapun punca kucing terjatuh dari bangunan tinggi boleh dibahagikan sama ada dicampak dengan sengaja oleh seseorang atau sebaliknya seperti tergelincir ketika cuba melompat tempat jauh,” kata Lau kepada MediaCorp.

Pada minggu lalu, seorang penduduk di estet perumahan awam Marsiling, pinggir Woodland di utara Singapura mendakwa kucing miliknya itu mati akibat “perbuatan ganas tidak masuk akal” oleh pelaku yang tidak dikenali.

Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) republik itu menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat kes pelik tersebut kerana secara amnya, agak sukar untuk menentukan sama ada seekor kucing terjatuh dengan sendiri.

Dalam pada itu Meranda pula berkata, kucing mungkin dicampak dari tempat yang tinggi, tetapi untuk mengenal pasti sama ada ia akibat perbuatan sengaja, CWS akan meneliti lokasi di mana bangkai kucing tersebut dijumpai.

Ini bagi menentukan sama ada ia berdekatan sebuah blok perumahan yang terdapat belebas atau tingkap atau sama ada kucing itu memang sudah mengalami luka lama lain seperti tikaman atau kesan tali pada anggota tubuhnya.

Biasanya, CWS mendapat tahu tentang kes-kes sedemikian menerusi orang awam yang memaklumkan kepada pihak majlis bandaran apabila mereka menjumpai bangkai kucing yang sudah mati di kawasan estet perumahan mereka.

Majlis bandaran kemudian menghubungi CWS untuk memindahkan bangkai itu dan pihaknya terlebih dahulu akan merakamkan gambar sebelum memuat naik poster di sekitar kawasan estet perumahan dan juga media sosial.

Tujuannya ujar Meranda, adalah untuk membolehkan CWS dapat mencari siapakah pemilik asalnya – atau individu yang pernah bermurah hati ihsan memberi kucing tersebut makan, jika ia hanya merupakan haiwan jalanan.

Selepas itu, penjaga kucing akan memutuskan sama ada bangkai kucing itu perlu menjalani pembedahan lebih lanjut bagi menentukan punca sebenar kematian atau memberi kebenaran untuk dibakar secara formal.

Menurut CWS, pihaknya menekankan usaha kesedaran kepada pemilik kucing supaya menjaga haiwan peliharaan mereka di dalam rumah serta memasang jaring pada tingkap dan pintu rumah. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Purata Sebulan 5 Kucing Maut Terjun Flat Singapura Purata Sebulan 5 Kucing Maut Terjun Flat Singapura Reviewed by Azmin on December 23, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.