Beijing: Seorang wanita memilih kerjaya pelik tetapi menguntungkan apabila membantu golongan isteri membalas dendam terhadap wanita simpanan suami mereka sejak sedekad lalu.
Zhang Yufeng dilaporkan membantu ribuan isteri ‘pulih’ daripada rasa perit akibat suami yang curang dengan mengumpulkan bahan bukti untuk kes mahkamah.
Dia juga membantu membawa mereka kepada wanita yang dianggap perosak rumah tangga untuk memukul dan memalukan mereka.
Zhang - yang lebih popular digelar ‘pembunuh wanita simpanan’ berkata, dia terpanggil untuk melakukan kerja itu selepas suaminya sendiri curang dan menceraikannya pada 1990-an.
Zhang yang enggan mengalah dan bersedih memutuskan membalas dendam dan menjejaki suaminya dan wanita simpanan terbabit hingga memaksa mereka melarikan diri serta berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mengelaknya.
Tidak lama selepas itu, dia dihampiri seorang wanita meminta bantuan membalas dendam untuk anaknya yang kemurungan dan kemudian membunuh diri selepas ditinggalkan suami yang curang.
“Saya berjanji kepadanya akan menghapuskan lelaki seperti itu tanpa belas kasihan,” katanya.
Zhang kini memiliki kediaman di Beijing yang turut dijadikan tempat perlindungan untuk wanita yang diusir suami kerana mempunyai kekasih baru.
Perniagaannya semakin berkembang dengan peningkatan kadar perceraian di China.
Zhang mendakwa menerima lebih 100 panggilan sehari daripada wanita yang terdesak.
Malah dia kini dianggap wira dan tidak ubah seperti selebriti kepada segelintir orang.
Sejak kebelakangan ini, banyak video dimuat naik ke media sosial China menunjukkan kumpulan wanita memukul dan membogelkan perempuan disyaki kekasih gelap di khalayak ramai.
Lazimnya video itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menganggap tidak adil untuk perempuan simpanan kerana si suami yang sepatutnya dipersalahkan.
Namun Zhang berpendapat wanita seperti itu sama saja jahatnya malah dianggap tidak ubah seperti ‘syaitan Jepun’ yang patut dipancung menggunakan pedang.
“Kali pertama saya membantu seorang wanita membelasah seorang perempuan simpanan suaminya selepas kami terserempak dengannya ketika membuat siasatan.
“Polis datang ketika saya menendang, memukul dan menghinanya. Saya terus memberitahu wanita itu menggoda suami orang.
“Polis terbabit berkata, ‘saya tidak nampak apa-apa.’
“Ia menandakan perbuatan saya itu tidak akan diambil tindakan.
Kerana itu saya berani terus membelasah wanita itu,” katanya.- metro
Skuad 'Pembunuh Wanita Simpanan'
Reviewed by uMieySurianie
on
December 19, 2016
Rating:
No comments: