Seo Services

Tarik Diri Untuk Minta Duit Dengan Kerajaan


PEMILIK kelab Johor Darul Takzim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) menzahirkan rasa kecewa dengan tahap hipokrasi yang berlaku terhadap kelab-kelab yang mengancam untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Tunku Ismail bertitah, baginda ber­anggapan sungguh melucukan apabila melihat bagaimana ahli-ahli politik me­nguruskan kelab-kelab bola sepak masing-masing di negara ini.

Titah baginda, tindakan kelab tersebut yang mengancam untuk menarik diri ha­nya untuk meraih simpati dan mendapatkan sumber bantuan daripada kerajaan.

“Di sini (Johor DT) kami cuba untuk mendidik pe­nyo­kong bola sepak bahawa kelab bola sepak bertanggungjawab untuk kewa­ngan dan atas setiap tindakan mereka.

“Wang kerajaan hanya perlu digunakan untuk kebajikan rakyat tetapi kami dapati terdapat kelab yang menyalahgunakan dana me­reka dan kemudian me­ngancam untuk menarik diri daripada liga hanya untuk meraih simpati dan mendapatkan sumber bantuan daripada kerajaan,” titah baginda dalam laman Facebook, Johor Southern Tigers semalam.

Tunku Ismail bertitah, kerajaan dan ahli politik melihat perkara itu sebagai satu peluang bagi mereka untuk mengambil kesempa­tan daripada isu tersebut untuk mencapai agenda parti politik mereka.

“Jadi, jika inilah yang sedang berlaku, saya fikir semua pasukan harus me­ngancam untuk menarik diri supaya kita semua boleh mendapatkan wang daripada kerajaan dan ahli politik jikalau begitu cara permainan mereka,” titah baginda.

Titah Tunku Ismail, baginda berasa kecewa dan terkilan dengan kenyataan yang diberikan oleh beberapa pemimpin dan ahli-ahli politik senior yang cuba menggunakan bola sepak sebagai alat politik.

“Namun, saya mula menyedari ia tidak begitu mengejutkan memandangkan tarikh pilihan raya sudah semakin hampir. Sebagai permulaan, mungkin idea yang saya boleh cadangkan adalah anda semua mula ber­khidmat kepada rakyat dengan jujur.

“Cukuplah dengan sikap Hollywood. Mula lakukan benda dan perkara dengan betul. Siapa tahu yang ia mungkin membantu anda untuk jangka masa panjang,” titah baginda.

Sebelum ini, beberapa pasukan bola sepak seperti Perlis, Kelantan dan terbaharu Selangor menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga M 2017 ekoran kemelut kewangan.-Kosmo



Tarik Diri Untuk Minta Duit Dengan Kerajaan Tarik Diri Untuk Minta Duit Dengan Kerajaan Reviewed by Unknown on December 22, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.