SADONG JAYA: Penduduk Sadong Jaya secara umumnya meluahkan rasa syukur dan bangga diatas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terhadap keperluan rakyat persisir dengan terbinanya Jambatan Sadong dekat sini.
Penantian selama bertahun-tahun akhirnya menjadi realiti dengan terbinanya Jambatan Batang Sadong sebagai jambatan yang terpanjang merentasi sungai di negeri ini.
Satu ketika dahulu, penduduk kampung perlu merentasi sungai berkenaan menggunakan feri yang memakan masa agak panjang selain menunggu giliran dengan keadaan feri yang kurang memuaskan.
Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.48 kilometer (km) yang memakan kos sebanyak RM211.3juta mula dibina pada Julai 2012 setelah mendapat kelulusan serta merta semasa lawatan beliau disini pada Pilihanraya Negeri (PRN) 2011 lalu dengan kos diperuntukkan sebanyak RM231juta pada asalnya.
Hasil temubual Sarawakiana bersama penduduk dari kawasan sekitar Batang Sadong, rata-rata penduduk bangga dengan terbinanya jambatan berkenaan.
Zainuddin Haji Tomi, 52 berasal dari Kampung Semera Lot di sini berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak melupakan rakyat luar bandar dengan membawa arus perubahan ke kawasan mereka.
“Saya amat bersyukur dan berasa bangga kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana beliau amat komited dan begitu mengambil berat dalam membawa kemajuan serta pembangunan ke kawasan ini,” katanya.
Bagi Semuni Haji Omar, 57 dari Kampung Sungai Putin, impian selama bertahun-tahun akhirnya terlaksana selepas terbinanya jambatan Batang Sadong yang terpanjang merentasi sungai di Sarawak.
“Syukur Alhamdulillah diatas pandangan jauh Perdana Menteri kita kerana membantu kami penduduk di kawasan persisir ini dan saya tidak menyangka apa yang diberitahu oleh orang tua saya satu ketika dahulu menjadi realiti dengan terbinanya jalan perhubungan ini,” jelasnya.
Kini, penduduk di kawasan Parlimen Batang Sadong boleh menarik nafas lega apabila tidak lagi perlu beratur panjang untuk menunggu perkhidmatan feri bagi menyeberangi Sungai Batang Sadong.
Manakala, Kendi Bunsi, 63, dan Simbah Lawan, 50 masing-masing dari kampung Sungai Buloh berpendapat dengan adanya jambatan tersebut akan mengelakkan kesesakan luar biasa di musim perayaan kelak.
Jambatan merentas sungai yang terpanjang di Sarawak ini siap sepenuhnya pada Julai 2016 sebelum dibuka kepada orang ramai bermula 16 Oktober lalu mampu mengurangkan tempoh perjalanan penduduk merentasi Sungai Batang Sadong selain lebih selamat dan selesa.
Selain itu, jambatan tersebut mampu memendekkan masa perjalanan antara dua lokasi Sadong Jaya dan ke Simunjan - Sebuyau.
Pembinaan kemudahan seumpama ini diharap akan merangsang pembangunan ekonomi kawasan persisir Sarawak, selain memudahkan penduduk sekitar memasarkan dan menghantar sendiri hasil serta produk mereka ke bandar berhampiran.-Sarawakiana
[VIDEO] Jambatan Batang Sadong Satu Kebanggaan Penduduk
Reviewed by Unknown
on
December 19, 2016
Rating:
No comments: