
KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak optimis Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg akan mengekalkan hak kebebasan beragama seperti yang diperjuangkan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Menyambut baik pelantikan itu, Pengerusinya Baru Bian berharap Abang Johari juga akan memperjuangkan isu tanah Hak Adat bumiputera (NCR) yang telah membebankan masyarakat Bumiputera.
“Kami berharap satu daripada tindakan pertama beliau nanti adalah untuk memastikan Kanun Tanah dipinda untuk menggabungkan konsep ‘Pemakai Menoa’ dan ‘Pulau Galau’ sebagai tanah NCR.
“Ini akan menjadi permulaan yang amat bermakna untuk peranannya sebagai Ketua Menteri Sarawak dan signal kepada rakyat bahawa beliau amat dekat di hati rakyat,” katanya.
Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan juga percaya bahawa Abang Johari memahami perkara yang paling membimbangkan rakyat negeri ini yang diutamakan oleh Adenan sebelum ini.
“Kami berharap beliau (Abang Johari) akan meneruskan apa yang ditinggalkan oleh Allahyarham Adenan terutama isu-isu yang dekat di hati Allahyarham seperti autonomi, royalti minyak, pendidikan, pembalakan haram dan banyak lagi,” tambahnya.
Sebagai pemimpin yang berpengalaman, Baru turut menyifatkan pelantikan Abang Johari sebagai Ketua Menteri baharu petanda baik bagi kestabilan politik di negeri ini.
“Kami menghargai hakikat bahawa pelantikan telah dibuat tanpa penangguhan bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri dan mengelak spekulasi,” ujarnya.
Dari sudut pandangan peribadi pula, Baru menyifatkan Abang Johari amat mudah didekati dan bersedia untuk bekerjasama dengan beliau demi masa depan Sarawak yang lebih baik. - UB
Abang Johari Diyakini Akan Kekalkan hak Kebebasan Beragama
Reviewed by Azmin
on
January 16, 2017
Rating:
Reviewed by Azmin
on
January 16, 2017
Rating:
No comments: