Mangsa dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras ke dasar laut sekitar jam 6.14 petang semalam
BINTULU: Keseronokan sekumpulan pemuda mandi di Pantai Tanjung Batu di sini bertukar tragedi apabila seorang pemuda berusia 24 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras ke dasar laut dalam kejadian sekitar jam 6.14 petang di sini, semalam.
Menurut maklumat diperoleh daripada Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Sarawak, mangsa yang bernama Law Boung Shi berasal dari Sibu dikatakan sedang mandi di kawasan tepi pantai sebelum dihanyut arus deras ke dasar laut.
“Kami sejurus itu mengerah enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu diketuai Komander Operasi Kanannya Di-Hata Gobel untuk ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat mangsa,’’ katanya.
Difahamkan mangsa tidak pandai berenang dan ia meninggikan lagi risiko gagal melepaskan diri daripada arus deras.
Jelasnya, pasukan bomba buat masa sekarang hanya menumpukan pencarian secara ‘surface’ di sekitar kawasan mangsa dikhuatiri lemas atau kali terakhir dilihat bagi memudahkan kerja mengesan serta menyelamatkan mangsa.
“Kami mengakui usaha menjejaki mangsa mengalami kesukaran ekoran keadaan laut bergelora dan arus laut yang deras,’’ katanya.
Beliau berkata usaha pencarian dan menyelamatkan mangsa akan diteruskan pada awal pagi esok dengan skop kawasan pencarian akan diperluaskan lagi.
Kawasan Pantai Tanjung Batu merupakan antara kawasan pantai sering meragut nyawa terutama ketika laut bergelora disebabkan arus lautnya yang amat berbahaya bagi mana-mana individu berenang atau mandi-manda di kawasan sekitarnya. - UB
Pemuda Lemas Ketika Mandi Bersama Rakan
Reviewed by Azmin
on
January 16, 2017
Rating:
No comments: