Seo Services

Asfia Dijangka Adakan Sidang Media Berhubung Kekosongan Kerusi Tanjung Datu


KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung kekosongan kerusi N.3 Tanjong Datu.

Kerusi tersebut kosong berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan.

Jenazah Allahyarham, 72, telah dikebumi di tanah perkuburan Islam Samariang di Petra Jaya di sini kelmarin dengan istiadat pengebumian negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut sumber dihubungi semalam, pihak DUN mengambil maklum akan kekosongan kerusi itu namun tidak mahu bersikap tergesa-gesa dalam perkara ini.

“Banyak perkara yang perlu diuruskan sebelum notis kekosongan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya percaya speaker akan mengadakan sidang media berhubung perkara ini pada hari dan masa yang akan dimaklumkan menerusi Jabatan Penerangan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim dalam kenyataan baru-baru ini berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas selepas menerima pemakluman rasmi daripada speaker DUN berhubung kekosongan kerusi ini.

SPR katanya, mengambil maklum akan kematian penyandang kerusi N.3 Tanjong Datu dan sebarang maklumat lanjut mengenai perkara tersebut akan dibuat dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, kerusi N.3 Tanjong Datu disandang Adenan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2006 dan berjaya memenangi semula kerusi tersebut pada PRN 2011.

Pada PRN11, 7 Mei 2016 yang lepas, Adenan memenangi semula kerusi itu menerusi pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR Jazolkipli Numan.

Kerusi Tanjong Datu merupakan kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Barisan Nasional (BN).

Susulan kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kekosongan.-UB
Asfia Dijangka Adakan Sidang Media Berhubung Kekosongan Kerusi Tanjung Datu Asfia Dijangka Adakan Sidang Media Berhubung Kekosongan Kerusi Tanjung Datu Reviewed by Unknown on January 14, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.