KUCHING: Empat individu berasal dari Sarawak antara 122 individu ditangkap kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan kumpulan militan Islamic State (IS) tahun lepas.
Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, keempat-empatnya masing-masing berasal dari Kuching, Samarahan dan Serian.
“Mereka berjaya ditangkap di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia dalam operasi berasingan serta tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain.
“Manakala di negeri ini, tiada tangkapan melibatkan elemen keganasan atau IS sejak 2013 hingga kini.
“Hanya empat individu ditangkap ini berasal dari Sarawak tetapi terlibat IS di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Skuad 1&2 2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching di Jalan Puncak Borneo di sini, semalam.
Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM Datuk Narenasagaran Thangaveloo dan Komandan PULAPOL Kuching SAC Azman Salim.
Mohamad Fauzi menjelaskan,walaupun tiada kes dicatat di negeri ini, pasukan keselamatan tidak boleh leka malah harus meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa serta mengambil langkah proaktif mengelakkan kejadian tidak diingini seperti yang berlaku di luar negara.
Jelasnya, seorang suspek berasal dari Sarawak juga cuba menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di negara itu namun tindakannya berjaya dikesan.
“Hasil maklumat Cawangan Khas Bukit Aman, suspek seterusnya ditahan pihak berkuasa Turki dan dihantar pulang ke negara ini,” katanya.
Jelasnya, salah seorang daripada mereka cuba menyusup masuk ke Syria namun menerusi jaringan risikan pasukan keselamatan, cubaan itu gagal selepas mendapat kerjasama daripada Turki yang menghalang kemasukan ke lokasi bergolak di Aleppo.
“Mereka tiba di Turki sebelum polis menahan dan menghantar balik ke negara atas permintaan kita.
“Kita bekerjasama rapat bukan sahaja dengan polis Turki tetapi semua rakan di seluruh negara khususnya dalam lingkungan negara ASEAN,” katanya.
Secara keseluruhan sejak Februari 2013 katanya, seramai 264 individu ditangkap termasuk warga asing dalam operasi dijalankan pasukan polis di seluruh negara.
Beliau menambah, pihaknya juga akan terus meningkatkan pemantauan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.
“Menjelang Tahun Baharu Cina ini, kita akan terus meningkatkan pemantauan dan berdoa agar tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku berkaitan isu kumpulan pelampau ini,” katanya.-UB
Empat Orang Sarawak Terlibat IS Ditahan
Reviewed by Unknown
on
January 15, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
January 15, 2017
Rating:

No comments: