Seo Services

Kenali Abang Jo, Ketua Menteri Sarawak Ke-6

KUCHING: Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, sebentar tadi telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam, di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri di sini.

Beliau adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Perumahan dan Urbanisasi.

Mesra dikenali sebagai 'Abang Jo', beliau yang bernama Abang Haji Abdul Rahman Zohari merupakan anak bongsu Gabenor Sarawak yang pertama Allahyarham Tun Datuk Abang Haji Openg bin Abang Shapiee,dan Allahyarham Toh Puan Hajjah Dayang Masniah binti Abang Haji Abdul Rahman.

Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

Dilahirkan di Bahagian Limbang, Sarawak pada tahun 1950, Yang Amat Berhormat Datuk Amar mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Merpati Jepang, Kuching dan peringkat menengah di Sekolah Menengah St. Joseph juga di Kuching.

Beliau memperolehi Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Henley College, University Brunnel, United Kingdom.

Beliau memulakan kerjaya dalam politik pada tahun 1977 dan dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri pada tahun 1981 bagi kawasan Satok.

Pada tahun 1982, beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak.

Kemudian pada tahun 1984, beliau telah dilantik sebagai Menteri Wilayah dan Masyarakat.

Selepas memenangi pilihan raya negeri bagi kawasan Satok pada bulan April 1987, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian - Kementerian baru yang diwujudkan dalam Kabinet Sarawak.

Beliau sekali lagi dipilih pada September 1991 dan juga pada tahun 1996 pilihan raya negeri bagi kawasan Satok dan terus memegang jawatan Menteri Pembangunan Perindustrian sehingga 14 September 2000.

Pada 15 September 2000, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelancongan Sarawak.

Beliau sekali lagi memenangi pilihan raya negeri bagi kawasan yang sama pada September 2001.

Berikutan rombakan Kabinet Negeri pada 1 Julai 2004, beliau telah dilantik sebagai Menteri Perumahan, Sarawak.

Dalam rombakan Kabinet Negeri pada 1 Disember 2009 nama kementeriannya telah ditukar kepada Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar, Sarawak.

Pada bulan September tahun 2011 beliau sekali lagi dilantik memegang dua portfolio sebagai Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan, Sarawak selepas Negeri rombakan kabinet ketika itu.

Selepas memenangi pilihan raya negeri pada Mei 2016, beliau telah dilantik untuk memegang tiga portfolio iaitu sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, dan sebagai Menteri Perumahan dan Urbanisasi.

Sebelum melibatkan diri dalam politik, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines.

Selain daripada penyertaan aktif dalam politik, beliau juga telah dilantik antara lain sebagai Presiden, Penaung, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk pelbagai persatuan sosial dan NGO di Sarawak.

Bagi menghargai sumbangan beliau kepada masyarakat dan negeri Sarawak, beliau telah dikurniakan Anugerah Johan Bintang Sarawak (JBS) pada 7 Julai 1985 dan Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran "Dato Sri" pada 16 September 1990 dan Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran "Datuk Amar" pada 25 Oktober 2008 sempena Sambutan Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Yang Amat Berhormat Datuk Amar berkahwin dengan Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki. - Sarawakiana

Kenali Abang Jo, Ketua Menteri Sarawak Ke-6 Kenali Abang Jo, Ketua Menteri Sarawak Ke-6 Reviewed by Admin on January 13, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.