Seo Services

Pyongyang mahu hapus Jong-nam secara senyap: Pakar

SEOUL: Adakah ia satu rancangan pembunuhan gagal atau Korea Utara sengaja mahu menunjukkan simpanan senjata kimia yang dilarang?

Penggunaan agen amat toksik VX untuk membunuh abang pemimpin Korea Utara menimbulkan persoalan berhubung motif sebenar Pyongyang dalam satu daripada pembunuhan paling pelik disaksikan dunia.

Sesetengah mengatakan, Korea Utara, didakwa membawa senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dikelaskan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membunuh seorang lelaki di sebuah lapangan terbang antarabangsa sibuk, berhasrat menunjukkan kepada dunia apa yang boleh dilakukannya dengan senjata kimia, kemudian dengan mudahnya dilupakan di tengah-tengah kebimbangan berhubung teknologi lanjutan peluru berpandu negara itu.

Namun pakar percaya, agak mustahil Korea Utara mahu VX ditemui. Tiada alasan buat Pyongyang untuk berisiko membuat satu lagi kejutan apabila ia sudah berada dalam sekatan berat antarabangsa berhubung program senjata nuklearnya.

Pakar berkata, agak meragukan negara itu secara tiba-tiba bersedia menunjukkan senjata kimia miliknya sedangkan ia tidak pernah mengakui kewujudannya.

Pakar Korea Utara di Universiti Dongguk di sini, Koh Yu-hwan berkata, bagi Pyongyang, pembunuhan Kim Jong-nam, yang mungkin dilihat ancaman potensi terhadap adik lelakinya, Jong-un, adalah jelas satu keutamaan.

"Mereka kemungkinan memilih bahan kimia paling berbahaya kerana sudah pasti tidak mahu gagal membunuh Jong-nam.

"Pendedahan berhubung penggunaan VX di sebuah lapangan terbang antarabangsa mungkin amat penting buat negara itu, namun saya ragu-ragu Korea Utara secara menyeluruh memikirkan kesan daripada tindakannya," kata Yu-hwan.

Korea Utara menafikan pembabitannya dalam serangan 13 Februari lalu ke atas Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selain enggan mengesahkan identiti dirinya, mengatakan seorang daripada rakyatnya maut akibat 'serangan jantung.'

Tentera Korea Selatan percaya, Korea Utara memiliki satu daripada simpanan senjata kimia terbesar dunia sehingga 5,000 tan termasuk sarin, mustard, tabun dan sianida hidrogen, sebagai tambahan kepada agen saraf jenis-V.

Jika Korea Utara benar-benar menggunakan VX untuk membunuh Jong-nam, ia menunjukkan tahap kecanggihan baharu dalam caranya menguruskan senjata kimia.

Korea Utara mungkin perlu menjalankan lebih banyak ujian sebelum menentukan jumlah sebenar VX yang mungkin membunuh Jong-nam tanpa membahayakan penyerang atau sesiapa di lapangan terbang yang sibuk. - AP/BH
Pyongyang mahu hapus Jong-nam secara senyap: Pakar Pyongyang mahu hapus Jong-nam secara senyap: Pakar Reviewed by Admin on February 26, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.