Seo Services

Rancangan Pembangunan Mega KM Di Kuching, Samarahan, Serian Dipuji


KUCHING: Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos memuji berita-berita mengatakan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg aktif merancang beberapa pembangunan mega untuk masa depan lebih baik Kuching, Samarahan dan Serian.

“Pelan pembangunan mega Ketua Menteri untuk Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, MPKS serta Serian dipuji dan selama ini dinantikan.

“Sudah tentu kami sangat gembira mendengar berita itu kerana sebarang pembangunan terutama ekonomi akan menghasilkan perkara baharu,” katanya semalam.

Mengambil contoh Samarahan, katanya selain dengan berkesan melakukan kerja-kerja rutin seperti memotong rumput, mengumpul sampah, (memasang) lampu jalan, membersih jalan, membaiki jalan dan sebagainya, pastinya lebih hebat peluang pekerjaan diwujudkan dalam bentuk ‘in-situ’ untuk lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Selain itu, mewujudkan peluang pekerjaan di kilang-kilang dan sektor perniagaan serta apa jua yang dapat meningkatkan status ekonomi penduduk setempat, tambahnya.

“Pekerjaan diperlukan bagi menjana pendapatan, terutama gaji yang lumayan, sesuai dengan jangkaan dan kualiti hidup lebih baik serta kenaikan kos sara hidup.

“Saya menyandang jawatan pengerusi (MPKS) hanya lebih sebulan, Ketua Menteri yang baharu, Abang Johari sudah mempunyai idea-idea dan perancangan-perancangan hebat untuk Kuching dan Serian lebih membangun,” katanya.

Ujarnya lagi: “Itulah yang dimaksudkan sebagai politik pembangunan. Tambahan, beliau seorang pemimpin baharu tetapi cepat bertindak tanpa membuang masa serta tidak terlalu terikat dengan birokrasi, kurang bercakap dan ‘berkhayal’ tentang sesuatu perkara.”

Beliau menambah, politik yang kukuh dan sikap prihatin bekas Ketua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kini diteruskan oleh Abang Johari.

Menurutnya, Samarahan akan menjadi tempat terbaik untuk membentuk landskap yang cantik, menjadikannya tidak hanya bersih tetapi hijau.

“Kita mahu menjadikan Kota Samarahan lebih berprestij kerana mempunyai dua universiti diiktiraf dan hebat, pusat ilmu dan pembelajaran, menjadi tempat tinggal, belajar serta berniaga yang menyenangkan. Tempat yang menjadi kebanggaan serta kegembiraan semua pihak,” katanya.

Minos berkata pelancong, pendatang asing dan penduduk setempat mesti sentiasa melihat Kuching sebagai sebuah tempat untuk dikunjungi serta tinggal seterusnya dibanggakan.

“Kuching telah diisytihar sebagai Bandar Raya Perpaduan, sesuatu yang amat membanggakan dan Kota Samarahan sebagai pusat ilmu dan pembelajaran.

“Semua yang diperlukan ialah menambah baik dan dinaik taraf. Ketua Menteri baharu, Abang Johari merancang demikian. Kita amat gembira,” ujarnya.
Rancangan Pembangunan Mega KM Di Kuching, Samarahan, Serian Dipuji Rancangan Pembangunan Mega KM Di Kuching, Samarahan, Serian Dipuji Reviewed by Azmin on February 27, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.