LANGKAWI: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau belum menerima laporan penuh dan terperinci mengenai penahanan seorang Leftenan Kolonel dan Staf Sarjan berhubung siasatan kes rasuah, semalam.
Sehubungan itu, katanya, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penahanan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Katanya, adalah tidak wajar untuk menjatuhkan hukuman terhadap pegawai dan anggota terbabit kerana ia masih di peringkat siasatan.
"Ia masih dalam proses siasatan dan jika mereka didapati bersalah pastinya ia tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.
"Saya, Kementerian Pertahanan dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pastinya tidak akan sesekali melindungi individu yang melakukan kesalahan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Peringkat Menteri Pameran LIMA '17 di sini hari ini. BH hari ini melaporkan SPRM menahan seorang Leftenan Kolonel yang bertugas di Wisma Angkatan Tentera Malaysia kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti rasuah.
Suspek berusia 57 tahun itu ditangkap di pejabat SPRM Temerloh, Pahang kira-kira 2.30 petang ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes yang membabitkan dirinya.
Suspek dipercayai menerima 'keuntungan atas angin' daripada lebih 50 syarikat dilantik menjalankan kerja penyelenggaraan di Unit Senggaraan Zon Timur. - BH
Siasatan Masih Berjalan, Elak Spekulasi: Hishammuddin
Reviewed by Azmin
on
February 24, 2017
Rating:
No comments: