Seo Services

20,267 Calon Dapat Tawaran Lanjut Pelajaran




SEREMBAN - Seramai 20,267 daripada 36,000 calon berjaya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 yang bermula sejak 11 Mac lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut melibatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Pengajian Asasi yang diperoleh semasa sesi jelajah di Parlimen Hulu Langat, Selangor pada 27 Mac lalu.

“Kursus yang menjadi pilihan berasaskan TVET yang berteraskan kemahiran dan teknikal di institusi seperti GiatMara, KUPTM (Kolej Poly-Tech Mara), IKM (Institut Kemahiran Mara), KKTM (Kolej Kemahiran Tinggi Mara), Kolej Komuniti dan seumpamanya.

“Seremban merupakan parlimen ke-15 dan negeri keempat yang kita jelajah pada hari ini (semalam). Sehingga tengah hari, dianggar lebih 2,000 calon layak dapat tempat di institusi pendidikan terlibat.

“Siri jelajah ini berakhir di Parlimen Bagan Datoh, Perak pada Mei depan. Calon terpilih akan mula pengajian pada kemasukan Julai nanti,” katanya pada perasmian program itu bagi peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Walaupun sasaran minimum ditetapkan bagi calon yang berjaya pada tahun ini seramai 50,000 di 55 parlimen tumpuan, Ismail Sabri berkata, pihaknya berharap dapat mencapai lebih daripada itu.

“Berbeza dengan edisi tahun lepas, kali ini kita turut dapat sokongan dan penyertaan 18 IPTA (institusi pengajian tinggi awam).

“Setiap universiti menawarkan 200 tempat, kecuali UPM (Universiti Putra Malaysia) yang beri kelonggaran menyediakan 400 tempat,” katanya memberitahu,keutamaan diberikan kepada mereka yang miskin dan tidak berkemampuan. - SH
20,267 Calon Dapat Tawaran Lanjut Pelajaran 20,267 Calon Dapat Tawaran Lanjut Pelajaran Reviewed by uMieySurianie on March 31, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.