Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melabelkan pembangkang sebagai ‘pakar mensabotaj’ ekonomi berikutan suka memburuk-burukan imej negara ketika misi mereka di luar negeri.
Beliau menyifatkan tindakan itu adalah satu kesilapan besar kerana ia seakan-akan menghalau pelabur asing keluar dari negara ini.
“Bukankah ini satu tindakan yang merugikan rakyat kita sendiri? Bukankah ini menunjukkan perangai sebenar mereka yang tidak sayang akan tanah air sendiri?
“Saya juga percaya bahawa tindakan mereka memburukkan Malaysia adalah satu cubaan untuk menutup kelemahan mereka sendiri dari segi pentadbiran, serta penyampaian kepada rakyat,” kata beliau dalam catatan terbaharu diblognya najibrazak.com, Khamis.
Mengambil contoh sikap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Najib berkata sebelum ini, setiausaha agung DAP itu dengan bangganya mengeluarkan kenyataan bahawa negeri itu merupakan destinasi pilihan pelabur asing.
“Namun, apabila banyak pelabur asing meninggalkan Pulau Pinang, Guan Eng menuduh kerajaan Persekutuan menjual negara apabila banyak pelaburan asing masuk ke Malaysia,” kata Najib.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mempersoalkan dakwaan pembangkang kononnya negara dijual melalui pelaburan asing, sedangkan rakyat dan syarikat Malaysia melabur hampir RM569.5 bilion di luar negara.
Tegas Najib, dalam tempoh dua tahun hasil lawatan Kerajaan Persekutuan serta menerima lawatan ketua negara asing, Malaysia menerima pelaburan menguntungkan
“Contohnya perjanjian bersama ARAMCO yang bernilai RM31 bilion dan memorandum persefahaman bersama China yang bernilai RM144 bilion.
“Berdasarkan fakta-fakta yang diberikan, wajarkah Malaysia digelar sebagai negara gagal seperti yang dicanang oleh pembangkang?” soal Perdana Menteri, yang kini melakukan lawatan kerja enam hari ke India bermula semalam.
Sempena lawatan kerjanya ke India, beliau berharap agar lebih banyak usaha dapat dilakukan dalam merealisasikan potensi Malaysia selain mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Saya percaya delegasi negara, baik pimpinan tertinggi hingga ke pegawai muda akan bekerja keras dalam memastikan lawatan ini berjaya bukan sahaja dari segi hubungan baik tetapi dalam membawa hasil yang boleh memberi manfaat kepada rakyat negara kita,” kata Pengerusi Barisan Nasional itu. - BNBCC
Rakyat Sengsara Jika Pembangkang Sabotaj Ekonomi
Reviewed by Unknown
on
March 31, 2017
Rating:
No comments: