KUALA LUMPUR: Sebanyak 82 peratus daripada keseluruhan 4,797 projek Aku Janji Kerajaan Persekutuan (AKP) bernilai RM72.26 bilion yang mula dilaksanakan sejak 2013, siap sepenuhnya setakat 15 Mac lalu.
Perkara itu dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan AKP yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Utama Parlimen, dengan turut dihadiri menteri serta pegawai tinggi kerajaan.
Ahmad Zahid berkata, antara projek yang berjaya disiapkan adalah Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh ke Semantan sepanjang 23 kilometer membabitkan 12 stesen, dengan tempoh perjalanan kurang 30 minit.
Katanya, turut siap projek penyambungan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) dari Sri Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights sepanjang 35.1 kilometer yang menelan kos RM9.54 bilion.
"Pembinaan 234,832 unit Rumah Mampu Milik (RMM) juga siap sepenuhnya. "Begitu juga kemudahan akses jalur lebar di seluruh negara melalui penyediaan 230,366 port internet baharu dengan kos RM1.8 bilion," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sembilan buah sekolah baharu juga siap dibina dengan kos RM343.45 juta serta projek membaik pulih 161 buah sekolah daif di Sabah dan Sarawak yang berjumlah RM37 juta.
Katanya, turut siap adalah projek menaik taraf kemudahan perubatan haemodialisis di 22 buah hospital bernilai RM5 juta dan kerja menurap jalan luar bandar sepanjang 5,797 kilometer dengan kos RM7.66 bilion.
"Menerusi projek AKP ini juga, kita berjaya menyiapkan pembinaan lima buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak dan Kedah.
"Selain itu, lapan buah Pusat Transformasi (RTC) Luar Bandar siap iaitu di Miri dan Betong (Sarawak); Kulai (Johor); Jasin (Melaka); Pekan (Pahang); Dungun (Terengganu); Kota Bharu (Kelantan) dan Jitra (Kedah)," katanya.
Katanya, komitmen kerajaan untuk merealisasikan projek AKP akan diteruskan menerusi pelaksanaan empat lagi inisiatif iaitu peningkatan amaun Bantuan Rakyat 1Malaysia dengan kos RM6.8 bilion, pembinaan pusat Anjung Kasih di Hospital Queen Elizabeth, Sabah; Hospital Sultanah Aminah, Johor; Hospital Serdang, Selangor; Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah.
Di samping itu, program e-Usahawan dan e-Rezeki juga akan dilaksanakan dengan menelan kos sebanyak RM100 juta untuk meningkatkan pendapatan 300,000 peserta dan pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang akan dimulakan Julai depan.-BH
82 Peratus Projek AKP Siap
Reviewed by Unknown
on
March 28, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
March 28, 2017
Rating:

No comments: