![]() |
| Gambar Sekadar Hiasan |
KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah menyifatkan cadangan memberi pelepasan cuti sebulan kepada kaum suami jika isteri melahirkan anak sebagai cadangan baik serta rasional untuk dipertimbang.
Bagaimanapun, katanya, bilangan hari yang dibenarkan bercuti itu haruslah dikaji terlebih dahulu antara kedua-dua pihak termasuk majikan dan pekerja itu sendiri dan dipersetujui secara bersama.
“Dalam era kita pada hari ini, memberi pelepasan cuti kepada suami ketika isterinya bersalin adalah suatu keperluan.
“Ini bermakna, pelepasan cuti yang diberikan oleh setiap majikan itu mestilah memberi faedah dan manfaat kepada semua pihak, lebih-lebih lagi kepada si isteri kerana pada masa cuti itulah digunakan oleh suami untuk menyelesaikan urusan termasuklah daftar nama, sijil kelahiran anak, MyKid dan sebagainya.
“Namun dalam hal ini, semua pihak harus mempersetujui perkara ini dan untuk itu sebelum ia dilaksanakan secara rasmi, penyelidikan harus dijalankan oleh pihak majikan itu sendiri sama ada dari sektor kerajaan mahupun swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Borneo semalam bagi mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar cuti bersalin untuk suami atau bapa diberikan selama sebulan kepada kakitangan kerajaan dan swasta dengan bayaran gaji penuh.
Memetik laporan berita sebelum ini, ketika ini cuti bersalin untuk suami atau bapa adalah selama tujuh hari untuk kakitangan kerajaan manakala cuti ihsan bagi kakitangan swasta bergantung kepada majikan masing-masing.
Kata Fatimah lagi, waktu cuti tersebut juga boleh digunakan untuk si bapa menguruskan anak-anak lain, sekiranya ada, termasuk menguruskan kerja-kerja rumah bagi membantu si isteri yang berehat dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak.
“Cadangan ini memang baik kerana kita melihat dari sudut di mana kebajikan si ibu bersalin akan terus terpelihara dan mereka boleh berehat sepanjang proses berpantang,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak Ahmad Malie yang juga melahirkan sokongan terhadap cadangan itu berkata, ia perlu dilaksanakan mengambil kira kesukaran mencari pembantu rumah untuk merawat isteri selepas bersalin atau menjalankan kerja-kerja rumah yang lain.
Katanya, disebabkan kesukaran itu, ia boleh menimbul risiko besar kepada si isteri kerana ada di antara mereka terpaksa melakukan kerja rumah ketika dalam tempoh berpantang.
“Akibatnya keadaan seumpama ini boleh menimbulkan kesan sampingan kepada si isteri berkenaan,” tegasnya. - UB
Cadangan Cuti Sebulan Kepada Suami Jika Isteri Bersalin Wajar Dipertimbang
Reviewed by Unknown
on
March 28, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
March 28, 2017
Rating:

No comments: