BINTULU: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tiada kekangan untuk terus beroperasi di negara ini malah operasinya terus diteruskan mengikut acuan negara.
“Hanya Malaysia mengiktiraf sekolah yang menggunakan bahasa ibunda berbanding beberapa negara lain di dunia,” kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut laporan Utusan Borneo, beliau berkata pada 1963 Malaysia telah memutuskan bahawa bahasa ibunda tiga bangsa terbabit (Melayu, Cina dan Tamil) boleh digunakan di sekolah jenis kebangsaan dan sejak 50 tahun lalu, sekolah terbabit tidak ditutup.
“Oleh sebab itu, kita teruskan program Sekolah Jenis Kebangsaan sedia ada seperti 50 tahun yang lalu, tiada masalah dan pendekatan kita tidak perlu terikut-ikut dengan negara lain,” katanya di Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas SJK Cina Negeri Sarawak di sini, semalam.
“Meskipun berlainan sekolah, ramai anak Melayu dan Bumiputera yang bersekolah di SJKC dan di Sarawak terdapat sebanyak 222 SJKC dan majoriti yang bersekolah di sekolah tersebut adalah dari kalangan Bumiputera,” ujarnya dipetik sebagai berkata.
Katanya, kerajaan meneruskan agenda pendidikan tersebut dan seperti 30 tahun dahulu, pendidikan menjadi keutamaan masyarakat Melayu, Cina dan India namun tidak begitu mengambil kira kualiti tetapi lebih kepada guru dan sekolah.
Tambahnya, di Malaysia perpaduan antara kaum berada di landasan yang betul dan tiada masalah perhubungan serta kita boleh hidup dalam suasana saling memahami.
“Kita mahukan suasana politik yang stabil dan hadkan masa untuk berpolitik sebaliknya, perlu memberi tumpuan kepada kerja dan perlu melihat bagaimana cara memajukan masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan Pelajaran) Kementerian Pendidikan Datuk Seri Azmi lateh. - Sarawakiana
Hanya Malaysia Iktiraf Sekolah Guna Bahasa Ibunda
Reviewed by Azmin
on
March 30, 2017
Rating:
Reviewed by Azmin
on
March 30, 2017
Rating:

No comments: