Seo Services

Lelaki Korea Utara Dibawa Keluar Dari IPD Sepang



SEPANG:  Seorang lelaki warga Korea Utara yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini di bawah kawalan ketat.

Ri Jong-chol, 47, direman sejak 18 Feb berhubung pembunuhan Jong-nam, dibawa keluar dengan memakai pakaian kalis peluru dan meninggalkan IPD Sepang pada pukul 8.50 pagi ini.

Lelaki berkenaan dibawa keluar dengan konvoi enam kenderaan selepas tempoh remannya sejak 18 Feb lepas berakhir hari ini.

Dia ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 17 Feb lepas berhubung kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) oleh dua wanita asing pada 13 Feb lepas.

Lebih 50 wakil media tempatan dan antarabangsa berkampung di hadapan pintu masuk IPD Sepang seawal pukul 5 pagi selepas berita mengenai pembebasan dan pengusiran Jong-chol dilaporkan.

Laluan di hadapan IPD Sepang itu disekat kepada lalu lintas kira-kira 10 minit sebelum konvoi yang membawa Jong-chol itu keluar.

Peningkatan kehadiran pengamal media menyaksikan anggota polis mula membentuk barisan di hadapan pintu pagar premis itu pada pukul 8 pagi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini selain melancarkan aliran trafik.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Jong-chol akan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asalnya berikutan kekurangan bukti untuk mendakwanya.

Difahamkan lelaki Korea Utara itu akan melalui proses dokumentasi oleh Jabatan Imigresen di Putrajaya sebelum diusir keluar ke negara asal hari ini.

Dalam kejadian itu, Jong-nam berada di klia2 bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Jong-nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam pada Rabu lepas dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan membunuh Jong-nam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – BERNAMA
Lelaki Korea Utara Dibawa Keluar Dari IPD Sepang Lelaki Korea Utara Dibawa Keluar Dari IPD Sepang Reviewed by Unknown on March 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.